Longgar jarak sosial dalam pesawat bukan keputusan sebelah pihak, kata Kementerian Pengangkutan

Kementerian Pengangkutan berkata, runding berhubung pelonggaran SOP dalam pesawat turut melibatkan pengendali lapangan terbang, syarikat penerbangan, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam dan Kementerian Kesihatan.

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan berkata, keputusan kerajaan untuk melonggarkan peraturan jarak sosial bagi semua penerbangan penumpang berjadual dan tidak berjadual tidak dibuat secara sebelah pihak.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, sebaliknya keputusan melibatkan konsultasi dengan pihak berkepentingan, baik di sektor swasta mahupun awam dengan mengambil kira kepentingan keselamatan serta kesihatan penumpang dan anak kapal, sebelum ia dimuktamadkan.

“Rundingan ini adalah bersandarkan kepada cadangan daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan bukti saintifik dan penilaian risiko dengan mengikut fakta yang tepat.

“Daripada rundingan ini juga, ia turut melibatkan pengendali lapangan terbang, syarikat penerbangan, Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia bagi menetapkan satu tatacara operasi standard (SOP), yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan yang mesti dipatuhi,” katanya.

Khamis lalu, Malaysia memutuskan untuk tidak lagi melaksanakan jarakan sosial dalam pesawat setelah mengambil kira standard antarabangsa dan garis panduan IATA.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, Malaysia sebelum ini adalah antara negara yang melaksanakan jarakan sosial dalam pesawat semasa pandemik Covid-19, manakala ada negara yang melaksanakannya secara bersyarat dengan jarak tidak sampai 1 meter.

Wee berkata, IATA tidak mewajibkan jarakan sosial, namun secara jelas menggariskan tatacara yang perlu dilaksana, termasuk saringan kesihatan, pemakaian pelitup separuh muka serta perkara yang perlu dilakukan oleh kru sebelum dan selepas penerbangan

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan berkata, SOP yang perlu dipatuhi ialah seperti penumpang wajib memakai pelitup muka.

Katanya, pemeriksaan suhu badan dan ujian saringan gejala menggunakan pengimbas sebelum menaiki pesawat juga perlu dilakukan.

“Selain itu, seperti jejak kontak penumpang dan penggunakan cecair pembasmi kuman.

“Garis panduan Kementerian Kesihatan mengenai pencegahan jangkitan dan kesedaran kebersihan perlu disampaikan sepenuhnya kepada anak kapal syarikat penerbangan.

“Kabin kapal terbang dibersihkan selepas setiap penerbangan dan mengelakkan aktiviti bersentuhan semasa perkhidmatan penerbangan seperti pengendalian makanan,” katanya.

Kementerian Pengangkutan berkata, SOP itu dibincangkan dan dipersetujui oleh MOT bersama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), KKM dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 7 Jun 2020.

Kementerian Pengangkutan berkata, ia kekal komited dalam mengutamakan kesihatan dan keselamatan semua pengguna serta kakitangan pengangkutan awam.

“Kementerian juga akan terus memantau keadaan selama tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan,” katanya.