Misteri… Mayat pesakit Covid-19 dilaporkan hilang dari kubur di Indonesia

Terdapat 3 mayat yang meninggal akibat Covid-19 yang diletakkan di lokasi sama bagaimanapun salah satu kubur didapati kosong dan mereka masih siasat kehilangan itu. (Gambar Twitter)

Jenazah seorang pesakit Covid-19 di Nusa Tenggara Timur, Indonesia dilaporkan hilang dari kubur pada 30 Mei lalu.

Menerusi laporan Tribun Mataram, mayat itu dikebumikan di sebuah tanah perkuburan khas di Desa Tanjung Boleng, Mukim Komodo.

Difahamkan tanah perkuburan khas ini untuk jenazah Pesakit Dalam Pengawasan (PDP).

Pada hari pengebumiannya terdapat 3 lagi mayat yang meninggal akibat Covid-19 yang diletakkan di lokasi sama.

Cuma yang menjadi tanda tanya, mayat yang lain dalam keadaan baik, bagaimana satu boleh hilang?

Setiausaha Harian Wilayah Kabupaten Manggarai Barat, Ismail Surdi berkata, pada 8 Jun lalu mereka mendakwa mayat itu telah dicuri bagaimanapun pihaknya belum dapat mengenalpasti siapa yang menggali kubur tersebut.

“Sekarang ini kami sedang siasat bila dia diambil, siapa yang ambil dan di mana dia berada sekarang. Nanti hasilnya akan kami kongsikan,” katanya.

Sebelum ini terdapat juga kes mayat pesakit Covid-19 di Hospital Stellamaris, Makassar diculik.

Menurut laporan kira-kira 150 individu menyerbu masuk ke hospital itu dan membawa lari seorang jenazah Covid-19 dengan menggunakan tandu sejauh 500m.

Kumpulan itu dikatakan berjaya melanggar sekatan pihak polis dan askar.

Ini kerana bilangan anggota berkuasa ketika itu lebih sedikit dari kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, wabak ini masih belum menunjukkan penurunan di negara itu, malah di beberapa daerah bilangan angka kematian masih bertambah.

Menerusi Worldometer, Indonesia mencatatkan bilangan kes keseluruhan positif Covid-19 sebanyak 34,316, dan jumlah kes kematian sebanyak 1,959 orang.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]