Noor Hisham: Pengembara pulang dari luar negara wajib pakai gelang tangan

Warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara wajib menjalani tempoh kuarantin di rumah bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan berkata, pengembara yang pulang dari luar negara akan dipakaikan gelang tangan (wristband) selama tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, gelang tangan akan dipakaikan kepada pengembara sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Gelang tangan ini perlu dipakai sepanjang tempoh pengawasan dan pemerhatian di rumah.

“Sekiranya gelang tangan tersebut ditanggalkan sebelum tamat tempoh pemerhatian, individu tersebut akan dikenakan tindakan,” katanya pada sidang media hariannya di sini, hari ini.

Noor Hisham berkata, gelang itu akan ditanggalkan oleh pegawai yang diberi kuasa selepas tempoh pengawasan dan pemerhatian tamat.

Dalam pada it, beliau berkata, bagi pengembara pulang dari luar negara, saringan gejala dan pengambilan sampel bagi Covid-19 akan dijalankan di pintu masuk antarabangsa.

Katanya, pengembara terbabit akan diberikan beberapa arahan, termasuk surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

Katanya, mereka juga akan diberikan borang “Home Assessment Tool”.

“Ini bagi memastikan pengembara memuat turun aplikasi MySejahtera,” katanya.

Noor Hisham berkata, perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah adalah arahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan sekiranya individu terbabit didapati melanggarnya, mereka boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 akta tersebut.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengingatkan orang awam yang dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah supaya sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan.

“Kekal berada di dalam rumah sepanjang tempoh yang ditetapkan. Asingkan diri daripada ahli keluarga yang lain bagi mengelakkan mereka terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19,” katanya.