Perlis tangguh kebenaran operasi pasar malam, sehari

Majlis Perbandaran Kangar sedang memperhalusi kaedah penganjuran aktiviti pasar malam dan pasar sehari yang dapat menepati SOP MKN.

KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menangguhkan kebenaran operasi pasar malam dan pasar sehari di seluruh Perlis sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan kemudian.

MPK dalam kenyataan malam tadi berkata, ia selaras keperluan bagi memastikan penganjuran aktiviti itu dapat dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara.

Katanya, MPK sedang memperhalusi kaedah penganjuran aktiviti pasar malam dan pasar sehari yang dapat menepati SOP itu.

Sebagai alternatif, MPK sedang merancang untuk menganjurkan bazar penjaja terkawal (BPT) di lokasi terpilih dan pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan semua pasar terbuka, pasar pagi dan pasar malam serta bazaria di Wilayah Persekutuan dibenarkan beroperasi mulai 15 Jun ini, tertakluk kepada SOP Kementerian Kesihatan.

Beberapa negeri, antaranya Johor, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan turut mengambil langkah sama dengan memberi kebenaran beroperasi secara berperingkat bermula Isnin ini mengikut SOP ditetapkan.