Remaja Rohingya dipenjara 10 bulan dera 3 adik enggan minta sedekah

Hakim memerintahkan remaja 18 tahun yang sarat mengandung itu menjalani hukuman 10 bulan bermula tarikh dia ditangkap pada 16 Dis 2019.

KUALA LUMPUR: Seorang remaja etnik Rohingya yang sarat mengandung dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan mendera 3 adik kandungnya yang enggan meminta sedekah pada tahun lalu.

Hakim Izralizam Sanusi memerintahkan remaja berusia 18 tahun itu menjalani hukuman bermula tarikh dia ditangkap pada 16 Dis 2019.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, remaja itu mengaku bersalah memukul 3 adik lelakinya yang masing-masing berumur 6, 10 dan 11 tahun dengan maksud hendak mendera, di Jalan Bukit Bintang di sini pada 10 pagi 3 Dis 2019.

Dia yang juga pemegang kad Suruhanjaya Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira tertuduh melakukan penderaan terhadap adik kandung sendiri kerana enggan mengikut arahannya meminta sedekah di sekitar Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, remaja perempuan itu yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia sedang mengandung 8 bulan serta tidak mampu membayar denda.