SOP semasa Aidilfitri diguna ketika sambutan Aidiladha, kata Ismail Sabri

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata, sambutan Aidiladha hanya dibenarkan pada hari raya pertama dengan jumlah maksimum 20 orang dalam satu rumah.

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi Aidilfitri akan diguna pakai ketika sambutan Hari Raya Aidiladha.

Beliau berkata, sambutan Aidiladha hanya dibenarkan pada hari raya pertama sahaja dengan jumlah maksimum 20 orang dalam satu rumah.

“Selepas hari raya pertama tidak ada sambutan,” katanya pada sidang media hariannya di sini apabila ditanya mengenai kebenaran sambutan Hari Raya Aidiladha ketika perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang membenarkan perjalanan merentas negeri.

Ismail berkata, bagaimanapun SOP asas seperti penjarakan sosial dan kebersihan diri mestilah dipatuhi seperti biasa ketika menziarah ibu bapa dan saudara mara.

“Perlu cuci tangan dengan pensanitasi dan sabun, sentiasa pakai topeng muka serta amal penjarakan sosial.

“Jika rumah kecil, tentu kurang daripada jumlah yang kita benarkan (20 orang). Kalau boleh, tak perlulah ramai dalam satu rumah.

“Ini kerana seperti saya kata, lebih ramai (orang) dalam rumah dan keadaan tertutup, ia bahaya,” katanya.

Hari Raya Aidiladha dijangka disambut pada 31 Julai depan.