Tukang gunting warga asing positif Covid-19 tidak patuh SOP, kata KP Kesihatan

KKM berkata, tukang gunting warga asing yang menawarkan khidmat menggunting rambut mesti menjalani ujian saringan Covid-19.

PUTRAJAYA: Tukang gunting warga asing yang dikesan positif Covid-19 baru-baru ini didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham berkata, pertama, tukang gunting itu menjalankan khidmat secara haram, iaitu pergi rumah ke rumah.

“Isunya sekarang, kita telah keluarkan SOP untuk mereka yang terlibat dalam perkhidmatan gunting rambut, tetapi dia tidak patuh SOP itu.

“Kedua, dia membuka (kedai) sebelum keputusan ujian diterima. Kita telah tetapkan warga asing yang menggunting rambut pastikan mereka jalani ujian Covid-19,” katanya pada sidang media hariannnya di sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan seorang tukang gunting warga asing positif Covid-19.

Noor Hisham berkata, tukang gunting itu, iaitu seorang lelaki warga Pakistan, turut menawarkan khidmat dari rumah ke rumah semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Lelaki itu dikesan positif selepas majikan memintanya menjalani saringan Covid-19 sebelum kedai tempat beliau bekerja mula beroperasi.

Noor Hisham berkata, susulan itu pihaknya mengambil tindakan dengan menjalankan saringan kontak rapat dan mereka yang menerima khidmat gunting rambut daripada tukang gunting tersebut.

Katanya, kes adalah positif dan individu terbabait telah asingkan dan dimasukkan ke hospital.

“Yang dikenal pasti sebagai kontak rapat, kita arahkan dikuarantin di rumah. Jadi tindakan telah diambil dan siasatan sedang dijalankan.

“Setakat ini tidak ada kluster (gunting rambut). Hanya seorang positif. Tetapi kalau ramai positif jadi kita mungkin akan ada satu kluster gunting rambut,” katanya.