14 maut, 168 cedera selepas lori tangki minyak meletup di China

Anggota bomba dikejarkan ke bangunan berdekatan yang runtuh selepas sebuah lori tangki minyak meletup di lebuh raya di wilayah Zhejiang, timur China semalam. (Gambar AP)

BEIJING: Sekurang-kurangnya 14 maut dan 168 lagi cedera selepas sebuah lori tangki minyak meletup di sebuah lebuh raya di China pada Sabtu.

Kerajaan menerusi media sosial berkata, kekuatan letupan itu menyebabkan rumah dan kilang berdekatan runtuh, dengan kepulan asap tebal menjulang ke udara ketika beberapa kereta dijilat api.

Rakaman video kejadian yang berlaku berhampiran bandar Wenling, wilayah Zhejiang di timur China itu menunjukkan orang ramai menjerit dan satu serpihan besar berterbangan di udara sebelum menghempap beberapa bangunan berdekatan.

Satu lagi klip video menunjukkan bangkai lori tangki minyak itu dan beberapa tayarnya merempuh sebuah bangunan yang runtuh.

Angka korban meningkat daripada 10 kepada 14 orang, lapor agensi berita Xinhua pada awal pagi ini.

Pasukan kecemasan giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat, manakala polis bertindak menutup beberapa laluan keluar lebuh raya itu.

Kemalangan maut di jalan raya adalah satu kebiasaan di China, kerana peraturan lalu lintas sering diingkari atau tidak dikuatkuasakan.

Statistik pihak berkuasa menunjukkan 58,000 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di seluruh China pada 2015.

Pelanggaran undang-undang lalu lintas dipersalahkan untuk hampir 90% kemalangan yang berlaku tahun itu.

Tahun lalu, sekurang-kurangnya 36 maut dan 36 lagi cedera di timur China ketika sebuah bas dengan tayar pancit yang sarat membawa penumpang melanggar sebuah lori.