2 cedera dalam kebakaran tangki simpanan petrol stesen minyak

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 10.26 malam tadi. (Gambar Facebook)

IPOH: Dua pekerja lelaki cedera dalam kebakaran melibatkan tangki simpanan petrol di bawah tanah sebuah stesen minyak mini Smart di Jalan Felda Trolak Utara, Sungkai, dekat sini malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 10.26 malam.

“Kami segera mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River bagi kerja memadamkan kebakaran. Ketika kejadian, pekerja berkenaan sedang melakukan kerja di kawasan tangki simpanan petrol berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, 2 pekerja itu yang melecur di kaki dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.

Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan orang awam menggunakan alat pemadam api, namun pihak bomba masih melakukan pemantauan di lokasi kejadian dan punca kebakaran masih disiasat.