Draf pinda akta berkait pemandu mabuk dihantar ke Jabatan Peguam Negara

Wee Ka Siong berkata, draf pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau memandu secara melulu akan dibentangkan kepada Kabinet dalam 2 minggu lagi.

PUTRAJAYA: Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau memandu secara melulu, adalah usaha merentasi kepentingan kaum, agama serta politik yang pasti mendapat sokongan, kata Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong.

Beliau berkata, hasil kajian ke atas lebih 345,000 responden mendapati 94% menyokong hukuman sedia ada “diberatkan”, iaitu berkaitan denda, penjara serta hilang kelayakan lesen memandu.

Katanya, beliau turut menerima khidmat pesanan ringkas daripada rakan pembangkang yang menyokong pindaan akta itu supaya hukuman ditingkatkan lagi.

Dalam temu bual khas sempena 100 hari perkhidmatannya sebagai menteri pengangkutan di kementeriannya baru-baru ini, Wee berkata, Kementerian Pengangkutan sudah mengemas kini semua seksyen berkaitan dan menyenaraikan apa yang perlu dipinda bagi rang undang-undang (RUU) itu nanti.

“Draf bagi pindaan akta itu juga telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan di mesyuarat Kabinet dalam masa 2 minggu lagi dan Dewan Rakyat pada sesi Julai ini.”

Wee Ka Siong

Undang-undang sedia ada memperuntukkan individu yang memandu dalam keadaan mabuk dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wee berkata, walaupun terdapat desakan daripada orang ramai agar pemandu mabuk dikenakan hukuman mati atau di bawah Seksyen 302 (membunuh), namun masyarakat tidak harus terburu-buru dalam soal itu, sebaliknya perlu bertindak mengikut lunas undang-undang.

Katanya, jika Seksyen 302 digunakan, ia perlu dibuktikan di mahkamah yang pemandu mabuk itu ada niat membunuh.

“Kita tidak mahu mereka terlepas kerana niat itu tidak dapat dibuktikan. Kena ikut lunas undang-undang, betul kita geram, tapi kita tidak boleh ambil tindakan secara melulu.”

Beliau berkata, kerajaan sedia menurunkan had kandungan alkohol yang dibenarkan, iaitu ketika ini ditetapkan pada 35 mikrogram alkohol dalam 100mm nafas: 80 miligram alkohol dalam 100mm darah atau 107 miligram alkohol dalam 100mm air kencing.

“Banyak negara yang menggunakan had minimum ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu 0.05g/dl dan ada juga mahu kandungan alkohol pemandu pada paras 0%, namun ia perkara yang sukar kerana jika kita minum ubat batuk contohnya, akan ada bacaan alkohol, oleh itu perkara ini akan diperhalusi.”

Katanya, kerajaan juga sedang menyemak semula dari segi perundangan untuk memastikan soal kebajikan waris mangsa kemalangan akibat pemandu mabuk mencukupi dan terbela.

Sementara itu, Wee berkata, perancangan terdahulu Kementerian Pengangkutan seperti mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan untuk kanak-kanak dalam kenderaan tidak akan dibatalkan, tetapi pendekatan yang digunakan akan dikaji semula.