Ismail beri amaran tarik kebebasan di bawah PKPP jika ingkar SOP

Ismail Sabri Yaakob berkata, Zoo Negara akan ditutup jika ia mencatatkan kes positif Covid-19. 

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob memberi amaran kebebasan di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) akan ditarik balik, jika rakyat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Mengenai aduan penjarakan sosial tidak diamalkan di Zoo Negara, katanya, pihak yang tidak mematuhi SOP penjarakan sosial boleh membahayakan keselamatan dan nyawa rakyat.

“Kebebasan perlu dijaga secara bersama sebab seperti saya katakan, jika ada kes positif di Zoo Negara atau sebagai contoh kegagalan patuhi SOP, Zoo Negara mungkin akan ditutup,” katanya pada sidang media hariannya.

Beliau berkata, polis akan menghantar pasukan khas ke Zoo Negara bagi tujuan memantau.

Bagaimanapun, beliau berharap orang ramai yang kini merupakan “barisan depan” dalam perjuangan menentang Covid-19 perlu mendisiplinkan diri dengan¬†mengamalkan penjarakan sosial.

“Diharap tidak ada sesiapa terlibat Covid-19 di Zoo Negara dan jangan ada kluster baru di Zoo Negara.”