KDN: IMM13 akan jadi dokumen tunggal untuk warga asing di Sabah

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata, kerajaan akan menyelaraskan semula hampir 136,000 pemegang pelbagai kad pendaftaran warga asing di Sabah, termasuk HIF22, kad Burong-Burong, sijil banci dan IMM13.

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin hari ini menetapkan bahawa pas IMM13 bakal menjadi dokumen perjalanan tunggal untuk warga asing di Sabah.

Hamzah berkata, keputusan ini dibuat selepas melawat, mendengar dan berbincang dengan semua agensi bawah Kementerian Dalam Negeri di negeri itu.

“Kerajaan akan menyelaraskan semula hampir 136,000 pemegang pelbagai kad pendaftaran warga asing di Sabah seperti HIF22, kad Burong-Burong, sijil banci dan IMM13.

“Dengan penyelarasan ini, IMM13 bakal menjadi dokumen pengenalan tunggal kepada warga asing dari Filipina di Sabah secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

IMM13 adalah dokumen pelawat yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen kepada pelarian perang dari selatan Filipina antara 1972 dan 1984.

Pemegang pas IMM3 dibenarkan tinggal dan bekerja di Sabah dan Labuan tanpa perlu memohon permit kerja. Mereka juga dibenarkan hadir ke sekolah dan mendapatkan perkhidmatan kesihatan kerajaan.

Manakala itu, kad Burong-Burong dan sijil banci masing-masing dikeluarkan kepada pendatang asing pada era kerajaan Parti Bersatu Rakyat Sabah (Berjaya) dan pasukan petugas khas persekutuan.

Hamzah berkata, penyelarasan ini bagaimanapun tidak melibatkan pengeluaran IMM13 yang baru dan tidak melibatkan mereka yang tidak ada sebarang rekod dengan pihak berkuasa.

“Terima kasih kepada semua agensi polis, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan agensi kawalan sempadan Malaysia yang terlibat.

“Kedaulatan dan keselamatan negara akan sentiasa kita pertahankan,” katanya.

Pada Januari, pemimpin PBS Maximus Ongkili berkata, satu-satunya kumpulan pendatang yang layak diberikan perhatian adalah pemegang dokumen IMM13 kerana ia diiktiraf di bawah Akta Imigresen.

Terdapat kira-kira 65,000 pemegang pasa IMM13 di Sabah, tidak termasuk ahli keluarga mereka.