KKM: Kematian tahanan di depoh Bukit Jalil masih disiasat

Kes kematian ke-121 berkaitan Covid-19 yang dilaporkan hari ini membabitkan seorang lelaki warganegara India yang merupakan OKT di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memaklumkan kematian seorang orang kena tahan (OKT) di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil masih dalam siasatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini, OKT yang berada dalam tahanan sama dengan lelaki yang meninggal dunia itu akan diasingkan.

“Mereka akan diasingkan. Akan dijalankan proses untuk kita kenal pasti sama ada yang lain terdedah atau tidak (kepada Covid-19).

“Siasatan sedang dijakankan. Sama ada berlaku jangkitan (Covid-19) atau tidak, kita pun tak pasti,” katanya pada sidang media hariannya di sini, hari ini.

Sebelum itu, Noor Hisham berkata, kes kematian ke-121 adalah seorang lelaki warganegara India yang merupakan OKT di DTI Bukit Jalil.

Katanya, lelaki itu berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

“Beliau didapati tidak sedarkan diri di DTI Bukit Jalil dan dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya.

Noor Hisham berkata, siasatan perlu dibuat bagi menentukan sebab sebenar kematian lelak itu.

Beliau disahkan meninggal dunia pada 12 Jun dan saringan Covid-19 didapati positif.

Katanya, seperti yang dilaporkan sebelum ini terdapat kes melibatkan seorang individu yang dikatakan positif Covid-19, tetapi meninggal dunia kerana menggantung diri.

Justeru katanya, tidak dapat disahkan sebab kematian sama ada kerana menggantung diri atau Covid-19.

“Atau seseorang positif Covid-19 yang memandu kereta, tetapi kemalangan. Jadi punca kematian adakah sebab Covid-19 atau terdapat punca lain,” katanya.

Noor Hisham berkata, pada masa ini siasatan dan ujian perlu dilakukan sebelum kementerian memberikan laporan yang lebih tepat.