Lebih 89% peneroka Felda di Pahang terima surat hakmilik tanah, kata Wan Rosdy

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri ‘mengorbankan tanah bernilai lebih RM40 bilion melalui pemberian surat hakmilik kepada peneroka Felda di negeri itu. (Gambar Bernama)

PEKAN: Kira-kira 38,600 atau 89.6% daripada 43,126 peneroka di Pahang sudah menerima surat hakmilik tanah melibatkan kawasan seluas 182,000 hektar, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, berdasarkan harga semasa tanah, kerajaan negeri “mengorbankan” tanah yang dianggarkan bernilai lebih RM40 bilion untuk pemberian surat hakmilik tanah itu bagi memastikan peneroka menikmati kehidupan yang lebih baik dan selesa di negeri itu.

“Sehubungan itu, saya mengingatkan para peneroka supaya dapat menjaga tanah ini dengan baik dan tidak sesekali memajak atau menjualnya selepas menerima surat hakmilik.

“Ini kerana tujuan asal kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) mewujudkan Felda adalah untuk pembangunan tanah dan membela masyarakat orang Melayu khususnya di luar bandar,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa berucap pada majlis penyerahan surat hakmilik peneroka Rancangan Tanah Felda Chini Timur 1 kepada 156 peneroka di Dewan Semai Bakti Chini Timur 3 di sini, hari ini, yang turut dihadiri ahli Parlimen Pekan Najib Razak dan pengerusi Felda Idris Jusoh.

Sementara itu, seorang penerima Suahilai Md Tai, 65, menyifatkan pemberian surat hakmilik tanah itu sebagai “kemenangan” ke atas perit jerih beliau selama 30 tahun membuka hutan untuk dijadikan kawasan pertanian.

“Saya mula menjadi peneroka pada tahun 1985 dan selepas sekian lama, akhirnya saya dapat juga merasa memegang geran tanah sendiri.

“Ini adalah harta peninggalan untuk anak cucu supaya mereka ada kampung halaman untuk berkumpul pada masa hadapan,” katanya.