MMA gesa kementerian umum audit ke atas makmal Covid-19

MMA bimbang orang tengah mengambil kesempatan atas wabak Covid-19 dengan memperniagakan ujian saringan.

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan kepada umum semua auditnya ke atas makmal yang menjalankan ujian saringan Covid-19.

Dalam kenyataan hari ini, presiden MMA Dr N Ganabaskaran berkata, persatuan itu meneliti trend terbaru orang tengah yang tidak berkaitan dengan sektor penjagaan kesihatan mengambil kesempatan ke atas wabak Covid-19 dengan mengkomersialkan ujian saringan tersebut.

Dr N Ganabaskaran.

Ia menegaskan bahawa krisis Covid-19 tidak harus dilihat sebagai peluang untuk membuat duit, sekali gus mendedahkan keselamatan pesakit kepada risiko.

Ganabaskaran mengingatkan orang ramai bahawa kilinik dan doktor berdaftar dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard yang ketat bagi mendapatkan kelulusan bagi ujian saringan, “triaging booth” dan persampelan di lapangan.

“Majoriti orang awam yang tidak biasa dengan protokol ketat ini lazimnya akan lebih tertarik pada harga yang lebih rendah tanpa menyedari risiko ke atas mutu perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

“Terdapat laporan bahawa pengumpulan sampel dilakukan semasa menjalankan ujian RT-PCR oleh pihak yang mungkin merendahkan harga, sekali gus menggugat mutu ujian yang dijalankan.

“Oleh sebab kaedah persampelan bagi ujian RT-PCR dan Antigen Rapid Test Kit (yang lebih murah) adalah sama, maka apakah standard unggul ujian RT-PCR dipatuhi? Siapa pula yang menjalankan audit ke atas ujian ini?

“Kami menggesa KKM supaya mendedahkan kepada umum semua auditnya ke atas makmal ini dan bagaimana ujian tersebut dijalankan.”