Pelajar sukar amal jarak sosial jika sekolah rendah dibuka, kata guru

Antara garis panduan Kementerian Pendidikan untuk pembukaan semula sekolah ialah pelajar perlu makan di dalam kelas di bawah pemerhatian guru pada waktu rehat bagi mencegah kesesakan di kantin.

PETALING JAYA: Sifat suka bermain dan jangka perhatian pendek pelajar sekolah rendah menjadikannya “mustahil” untuk melaksanakan penjarakan sosial apabila kelas disambung semula.

Minggu lalu, Kementerian Pendidikan berkata, ia akan melaksanakan jarak 1m antara meja apabila sekolah dibuka semula selepas ia digantung sejak pertengahan Mac lalu sebagai sebahagian langkah untuk membendung penularan Covid-19.

Langkah lain dalam garis panduan kementerian untuk pembukaan semula sekolah ialah pelajar perlu makan di dalam kelas di bawah pemerhatian guru pada waktu rehat bagi mencegah kesesakan di kantin.

Jumaat lalu, Menteri Pendidikan, Radzi Jidin dilaporkan berkata, pelajar tingkatan 5 dan 6 akan kembali ke sekolah pada 24 Jun ini, dengan kelas terhad kepada 20 pelajar.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan jadual untuk sambungan bagi kelas lain.

Seorang guru sekolah rendah di Selangor berkata: “Saya tidak begitu bimbang dengan pelajar di sekolah menengah kerana mereka boleh jaga diri lebih baik, tetapi saya fikir ia mustahil melaksanakan jarak sosial untuk kelas sekolah rendah.

“Pelajar sekolah rendah lebih muda dan memerlukan lebih banyak bimbingan, khasnya mereka dari darjah 1 hingga 3 yang lebih suka bermain. Jika anda minta mereka berhenti membuat bising atau bermain dengan kawan, mereka hanya akan bertahan 1 minit.”

Seorang lagi guru sekolah rendah berkata, sekolah perlu memberi lebih banyak perhatian terhadap pelaksanaan jarak sosial dalam kalangan pelajar darjah 1 hingga 3 kerana mereka tidak sedar kepentingannya.

Dengan meramalkan pelajar “sangat gembira” untuk bermain dengan rakan sekelas selepas bercuti panjang, guru itu menjangkakan mereka akan “lupa semuanya mengenai penjarakan sosial”.

Seorang guru sekolah rendah dari Johor sependapat pelajar lebih muda perlu sentiasa diingatkan mengenai SOP seperti penjarakan sosial, khasnya kerana mereka kurang mengikut arahan.

Beliau mencadangkan 2 guru diperuntukkan untuk setiap kelas dari darjah 1 hingga 3 kerana ia “lebih mencabar” untuk melaksanakan penjarakan sosial bagi pelajar itu.

“Mereka lebih muda dan sukar untuk menjaga mereka, khasnya kerana mereka suka merayau.”