Penyampai radio Patrick Teoh mengaku tak bersalah hina TMJ

Patrick Teoh tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru dengan ditemani isterinya, Chan Hui Min hari ini. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Selebriti dan penyampai radio, Patrick Teoh, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bulan lalu.

Teoh, atau nama sebenarnya Teoh Kang Yong, 73, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, Teoh didakwa secara sedar membuat kenyataan itu menggunakan akaun Facebooknya pada 5 petang 8 Mei lalu dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa mengikut Subseksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 233(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda RM1,000 setiap hari jika kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Kamarudin membenarkan Teoh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan kes serta penyerahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Mohd Syafiq Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguam Wong Hong Yi dan M Puravalen.

Terdahulu, Teoh yang berkemeja lengan panjang biru tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru kira-kira 8.15 pagi dengan ditemani isterinya, Chan Hui Min, 52.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, seorang pemilik kedai alat telekomunikasi mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memberi suapan RM500 kepada pembantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Kluang pada 20 April lalu.

Tertuduh, Chan Yee Seong, 36, didakwa memberikan suapan itu kepada Chandran Dorasamy sebagai dorongan tidak mengeluarkan kompaun terhadapnya yang membuka premis miliknya ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 2 bulan lalu.

Chan dituduh melakukan perbuatan itu di bilik mesyuarat Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan Majlis Perbandaran Kluang pada 11.35 pagi, di bawah Seksyen 109 Akta 171 (Akta Kerajaan Tempatan 1976) yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 atau 5 kali ganda suapan, yang mana lebih tinggi.

Kamarudin memerintahkan tertuduh membayar jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Julai untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ikhwan Ikhsan, manakala tertuduh diwakili peguam Chua Shyue Chien.