Polis tidak lagi pantau rumah ke rumah semasa sambutan Aidiladha, kata Ismail Sabri

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, semua pihak perlu mengawal disiplin sendiri dalam tempoh pelaksanaan PKPP sehingga tamat kelak. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, pada sambutan Aidiladha kelak, polis tidak lagi akan pergi rumah ke rumah untuk memantau orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ziarah-menziarahi sempena perayaan itu.

Beliau berkata, orang ramai perlu mengawal diri sendiri, keluarga dan masyarakat bagi menjamin keselamatan semua pihak daripada jangkitan wabak Covid-19.

“Sekarang ini isu berkaitan perayaan tidak ada. Jadi polis tidak lagi akan buat pemantaun rumah ke rumah seperti waktu minggu pertama perayaan sebelum ini.

“Walaupun tidak ada polis akan mengawal, untuk keselamatan diri, kitalah jaga diri kita sendiri dan keluarga. Tiada lagi barisan hadapan, maka kitalah patut jadi barisan hadapan,” katanya pada sidang media hariannya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah polis akan membuat pemantauan ke rumah ketika perayaan, termasuk pemeriksaan aktiviti ziarah.

Semalam Ismail berkata, SOP bagi sambutan Aidilfitri sebelum ini akan diguna pakai ketika perayaan Aidiladha yang dijangka disambut pada 31 Julai depan.

Beliau berkata, seperti Aidilfitri sebelum ini, sambutan Aidiladha hanya dibenarkan pada hari raya pertama sahaja dan maksimum 20 orang dalam satu rumah.

Ismail berkata, dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sehingga tamat kelak, semua pihak perlu mengawal disiplin diri masing-masing.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, kerajaan masih menutup pintu sempadan sama ada kepada rakyat Malaysia yang mahu ke luar negara atau warga asing yang mahu masuk ke negara ini.

Katanya, kebenaran hanya diberikan mengikut keadaan dan kes tertentu berdasarkan permohonan yang perlu dikemukakan kepada Jabatan Imigresen.

“Misalnya pelajar mahu ke luar negara untuk menduduki peperiksaan (university mereka), maka kita benarkan.

“Warga luar yang hendak masuk ke negara ini, hanya kumpulan tertentu dibenarkan. Misalnya diplomat atau peserta program Malaysia rumah ke-2,” katanya.