Sengatan tebuan merbahaya, ketahui tip elak kesan alahan bawa maut

Sengatan tebuan boleh menyebabkan rabdomiolisis dan kegagalan buah pinggang sehingga membawa kepada kematian tetapi sengatan lebah tidak begitu.

Tragedi seorang kanak-kanak yang maut akibat disengat tebuan baru-baru ini cukup menyedihkan.

Siapa sangka sengatan binatang kecil ini mampu menyebabkan kematian.

Bagi memastikan kejadian sama tidak berulang Dr. Samhan berkongsi beberapa panduan yang boleh dilakukan jika ada ahli keluarga terkena sengatan tebuan.

Maklumlah sarang tebuan ini boleh jadi ada berhampiran kawasan rumah tanpa disedari.

Tebuan beza dengan lebah

Tahukah anda sengatan tebuan berbeza dengan sengatan lebah?

Sengatan tebuan boleh menyebabkan rabdomiolisis dan kegagalan buah pinggang sehingga membawa kepada kematian tetapi sengatan lebah tidak begitu.

Menurut Senior Agronomist, Dato Mohd Anim Hosnan, ada kajian saintifik mendapati venom tebuan mengandungi bahan iaitu acetylcholine (5%) iaitu jatuh pada tahap 3.0 daripada tahap maksimum 4.0 dalam ‘Shcmidt Sting Pain Index’. Memang sakit!

Antara komponen yang terdapat dalam sengatan tebuan adalah histamine yang menyebabkan anafilaksis.

Anafilaksis ialah reaksi alahan pada alergen yang teruk yang boleh membawa maut.

Ia boleh berlaku dalam masa beberapa minit atau saat selepas pesakit tu terdedah kepada alahan yang tertentu.

Bila kena sengat tebuan ini yang berlaku

Sengatan serangga seperti lebah dan tebuan, boleh menyebabkan sistem imunisasi badan memberikan reaksi yang melampau.

  • Tekanan darah turun dengan mendadak
  • Saluran pernafasan menjadi sempit dan tekak dan lidah bengkak maka pesakit susah bernafas
  • Denyutan nadi yang lemah dan laju, lebih dari biasa
  • Ruam yang gatal dan bengkak di bahagian tertentu seperti muka dan bibir.
  • Loya dan muntah atau cirit birit
  • Pening atau pengsan

Sengatan pada kanak-kanak berisiko kematian

Dos sengatan yang boleh membawa maut adalah 4.6mg/kg.

Maka,kanak-kanak mempunyai risiko kematian lebih tinggi berbanding orang dewasa kerana saiz badan yang lebih kecil.

Lebih teruk, tebuan menyengat mangsanya berkali-kali berbanding lebah yang hanya menyengat hanya sekali.

Jika sengatan itu pada sistem saraf atau saluran darah seperti di bahagian muka, ia memang serius dan mangsa perlu dibawa segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Jika terlambat risiko kematian lebih tinggi.

LANGKAH PENCEGAHAN

Elakkan anak bermain dalam hutan

Jika perlu bawa anak masuk hutan, pastikan anak pakai baju lengan panjang,seluar panjang dan bertopi.

Elakkan menggunakan pakaian bewarna-warni yang boleh menarik perhatian serangga.

Elakkan memakai bau-bauan atau minyak wangi.

Jika diserang, jangan berlari secara mengejut sebaliknya berjalan perlahan-lahan kerana akan menarik perhatian lebah/tebuan mengejar mangsa.

Jangan mengibas baju dan kain untuk menghalang serangan,ini akan lebih menarik perhatian tebuan/lebah.

LANGKAH KECEMASAN

  1. Tanggalkan pundi sengat dengan menggunakan pengumpil atau penyepit.
  2. Basuh dengan air dan sabun.
  3. Letakkan ais atau air sejuk di tempat sengatan.
  4. Bawa mangsa ke kecemasan dengan segera.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]