Umno perlu banyak berkorban jika mahu PN diteruskan, kata Wan Saiful

Ahli Majlis Tertinggi PPBM Wan Saiful Wan Jan berkata, PN berpotensi menjadi lebih stabil daripada Pakatan Harapan dan lebih baik daripada Barisan Nasional.

PETALING JAYA: Seorang ahli Majlis Tertinggi PPBM berkata, Umno perlu banyak berkorban sekiranya ia mahu gabungan politik Perikatan Nasional (PN) diteruskan dengan lebih serius.

Malah menurut Wan Saiful Wan Jan, PN berpotensi menjadi lebih stabil daripada Pakatan Harapan (PH) dan lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, di dalam PN, Umno akan hilang status dominan yang dimilikinya sewaktu BN mentadbir negara dan keadaan itu tidak dinafikan akan menimbulkan kerisauan dalam kalangan pemimpin parti itu, malah sebilangan kecil tokohnya kurang selesa dengan situasi tersebut.

“Sekarang ini, Umno perlu diberi masa dan ruang untuk menguruskan transisi tersebut. Semua pihak dalam PN perlu memahami dan menghormati proses yang sedang berlaku dalam parti itu.

“Pemimpin Umno bukan orang baru dalam politik dan mereka banyak pengalaman mengurus perubahan. Berikan mereka masa dan hormati proses dalaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama Wan Saiful berkata, pendaftaran PN sebagai sebuah gabungan politik yang sah perlu dibuat kerana akan terdapat banyak persoalan yang sengaja ditimbulkan pihak lawan, walaupun amalan demokrasi tidak mewajibkan sesebuah gabungan didaftarkan.

“Dalam konteks hari ini, saya merasakan pendaftaran adalah prasyarat yang perlu dipenuhi dan berharap pengumuman mengenainya boleh dibuat segera untuk menghilangkan kegusaran ahli semua parti komponen,” katanya.

Setiausaha agung PAS Takiyuddin Hassan sebelum ini dilaporkan berkata, bahawa PAS akan terus memperkukuhkan kerjasama politik dengan PPBM dan Umno bagi mempertahankan kedudukan PN, sekali gus bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-15

Bahkan pada 17 Mei, pemimpin PPBM, BN, PAS, GPS, PBS dan STAR menandatangani memorandum persefahaman bagi mengesahkan sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Wan Saiful berkata, pembentukan PN pada Februari lepas masih menimbulkan banyak tanda tanya kerana identiti dan agenda gabungan itu belum jelas.

Bahkan katanya, memang logik sekiranya rakyat bertanya berkaitan perkara itu kerana tidak banyak butiran didedahkan kepada umum.

Bagaimanapun Wan Saiful berkata, gabungan parti dalam PN secara tidak langsung telah mengembalikan kedudukan politik orang Melayu sebagai teraju kerajaan, selain memastikan kebajikan kaum lain terjamin.

“Semasa era PH, mereka mengetepikan sentimen orang Melayu sehingga wujud ketidakstabilan.

“Dalam PN juga tidak berlaku perebutan jawatan perdana menteri seperti yang berlaku antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. Muhyiddin disokong oleh semua parti,” katanya.