2 Adun Upko keluar parti, sokong PN

Adun Sugut, James Ratib (kiri) dan Adun Kuala Penyu, Limus Jury pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Dua Adun Upko meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas kerana tidak menyokong Sabah menjadi pembangkang kepada kerajaan persekutuan Perikatan Nasional.

Adun Sugut, James Ratib dan Adun Kuala Penyu, Limus Jury turut melepaskan semua jawatan dalam Upko.

Jury ialah naib presiden Upko, manakala Ratib yang turut berpaling daripada Umno Sabah selepas pilihan raya umum ke-14 lalu, ialah ahli Majlis Tertinggi Upko.

Jury berkata, beliau hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan Upko yang tidak konsisten dalam perjuangan dan hala tuju parti.

“Saya juga yakin kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin boleh membawa perubahan lanskap politik di dalam negara ini dan juga Sabah khususnya.

“Keputusan ini tiada sebarang unsur paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak, sebaliknya atas kerelaan dan kebaikan warga Kuala Penyu,” katanya dalam sidang media hari ini yang turut dihadiri Naib Presiden PBS, Johnny Mositun.

Ditanya jika mereka akan menyokong bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman untuk kembali ke arena politik, Ratib berkata, beliau akan berbuat demikian jika Adun lain melakukannya.

Katanya, beliau meninggalkan Upko yang juga satu daripada parti pemerintah di Sabah demi pembangunan dan kebaikan kawasannya.

Tindakan 2 Adun itu menyebabkan jumlah kerusi dimiliki parti pemerintah Warisan, Upko, PKR dan DAP berkurangan kepada 45 kerusi.

Jumlah kerusi Upko saja berkurangan daripada 5 kepada 3, termasuk Adun dilantik, Wilfred Madius Tangau.

Parti pembangkang di negeri itu – STAR Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Umno – mempunyai 19 kerusi.