3 kriteria boleh jalani ujian saringan Covid-19 di makmal KKM

Individu yang pulang dari luar negara boleh menjalani ujian saringan Covid-19 di makmal KKM.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, terdapat 3 kriteria yang membolehkan seseorang itu menjalani ujian saringan Covid-19 di makmal kementerian itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM hanya menjalankan ujian tersebut jika seseorang itu merupakan “Personal Under Investigation” (PUI) (individu dalam siasatan) dan individu yang kembali dari luar negara.

“Selain itu, mereka yang disyaki daripada kumpulan yang terdedah dengan Covid-19 seperti kontak rapat kes,” katanya pada sidang media hariannya di sini, hari ini.

Noor Hisham berkata, jika seseorang tampil ke makmal KKM tanpa 3 kriteria itu, mereka tidak akan disaring.

Katanya, bukan semua disaring dibuat secara percuma.

“Kalau semua (percuma), nescaya semua datang nak lakukan ujian.

“Mereka (yang tak ada gejala) boleh lakukan ujian, tetapi di makmal swasta bukan makmal KKM,” katanya

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham berkata, 3 kes import Covid-19 yang dicatatkan hari ini turut melibatkan seorang bayi berumur 9 bulan.

“2 lagi, seorang supervisor berumur 54 tahun dan pelajar berumur 13 tahun.

“Semua baru pulang dari Singapura,” katanya.