41 kes jangkitan baru Covid-19, tiada kematian

PUTRAJAYA: Tiada korban baru berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban kekal 121 orang.

Dalam perkembangan sama, 41 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 8,494 orang sehingga kini.

“Ingin dimaklumkan daripada 41 kes baru yang dilaporkan, 3 kes adalah kes import warganegara yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 38 kes penularan di dalam negara, 32 kes adalah bukan warganegara manakala 6 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Ketika ini, seramai 973 pesakit sedang dirawat. Daripada jumlah tersebut, 4 di unit rawatan rapi dan tiada daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Hisham mengumumkan 54 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 7,400 orang sehingga kini.