Bayaran balik GST tertangguh bermula minggu depan, kata Tengku Zafrul

Kerajaan akan mula membuat bayaran balik GST yang tertunggak bermula minggu depan bagi membantu syarikat mengatasi masalah aliran tunai. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) komited untuk memastikan pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang tertangguh dapat dibuat dalam masa terdekat.

Menterinya, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pembayaran balik GST akan dibuat mulai 22 Jun 2020 dan pembayaran kepada semua penuntut dijangka akan selesai dibuat selewat-lewatnya pada akhir Disember 2020.

“Kementerian Kewangan bersetuju untuk JKDM melaksanakan kaedah “bayar dahulu dan audit kemudian bagi syarikat terpilih” berdasarkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 dan juga kriteria tertentu.

“Sehubungan itu, saya mengarahkan pihak JKDM untuk mempercepatkan pemprosesan bayaran balik GST yang tertangguh akibat tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang menyaksikan audit syarikat tidak dapat dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan berharap keputusan ini dapat membantu aliran tunai pelbagai sektor perniagaan dalam tempoh pemulihan ekonomi yang amat mencabar.

“Usaha ini selaras dengan langkah pemulihan ekonomi yang diperkenalkan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020,” katanya.