Covid-19: Kluster baru rumah penjagaan warga emas di Kuala Selangor dikesan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan 1 kluster baru Covid-19, iaitu warga emas di sebuah pusat penjagaan di Kuala Selangor selepas 3 kes didapati di pusat tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 2 kes didapati positif Covid-19 pada 17 Mei hasil saringan di pusat penjagaan warga emas itu.

“Pada ketika ini, 12 kakitangan dan 26 penghuni tersebut telah disaring.

“Keputusan saringan ke atas semua kakitangan dan 24 penghuni lain adalah negatif,” katanya pada sidang media hariannya di sini, hari ini.

Noor Hisham berkata, setelah hampir sebulan kemudian, kes ke-3 pula didapati positif Covid-19 daripada saringan Severe Acute Respiratory IIlness (SARI) apabila dimasukkan ke wad Hospital Tanjung Karang pada 13 Jun lepas.

Katanya, ini merupakan saringan kali ke-2 ke atas individu terbabit selepas didapati negatif pada saringan pertama yang dijalankan di pusat penjagaan tersebut.

“Pengesanan kes secara aktif sedang dijalankan dan langkah pencegahan turut diambil, termasuk proses nyah kuman dan nyah cemar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, 3,692,287 orang telah mendaftar dan menggunakan aplikasi MySejahtera yang dilancarkan pada 20 April lalu oleh Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Katanya, aplikasi ini mempunyai pelbagai ciri dan fungsi.

“Antara fungsi MySejahtera yang paling banyak digunakan oleh pengguna adalah hotspot tracker, penilaian kendiri, statistik terkini bagi Covid-19 di Malaysia, negara Asean dan seluruh dunia.

“MySejahtera Check-In adalah fungsi terbaru yang diperkenalkan secara rintis pada 1 Jun lalu dan telah digunakan secara meluas mulai 6 Jun lalu.

“Fungsi ini mendapat sambutan hangat. Dalam masa hanya 13 hari, 119,837 premis perniagaan mendaftar untuk QR code dan sebanyak 10,006,857 check-ins dicatat dari seluruh negara,” katanya.

Noor Hisham berkata fungsi MySejahtera Check-In adalah berkonsepkan prinsip “Simple, Safe and Secure”:

  • Simple atau senang digunakan, iaitu tiada lagi borang manual yang perlu disi. Pengguna aplikasi hanya perlu mengimbas QR Code melalui aplikasi ini dan terus masuk ke premis tersebut;
  • Safe atau selamat, iaitu kurang risiko jangkitan melalui sentuhan permukaan kerana tidak perlu berkongsi alat tulis dan mengurangkan tempoh menunggu untuk memasuki premis;
  • Secure, iaitu maklumat dan informasi daripada pengguna dilindungi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), dan hanya akan digunakan untuk pengesanan kontak jika diperlukan.

Noor Hisham berkata ciri aplikasi MySejahtera yang paling popular dalam kalangan pengguna adalah “hotspot tracker” yang digunakan sebanyak 13.3 juta kali sejak ia dilancarkan.

Katanya, bagi yang belum memuat turun aplikasi MySejahtera, KKM mengalukan mereka berbuat demikian untuk menggunakan fungsi-fungsi penting aplikasi ini, misalnya:

  • Hotspot tracker boleh digunakan untuk merancang pergerakan yang boleh membantu pengguna mengelakkan kawasan zon merah;
  • Penilaian risiko kesihatan untuk tanggungan (misalnya ibubapa dan anak) boleh dilaksanakan dengan mudah;
  • Penilaian kendiri boleh dijalankan dari semasa ke semasa dan lain-lain lagi.

“Aplikasi ini menjadi pencapaian yang boleh dibanggakan demi merealisasikan proses digitalisasi kesihatan di Malaysia,” katanya.