Jangan terpedaya, tiada ujian swab rumah ke rumah di luar kawasan PKPD, kata Ismail

Ismail Sabri Yaakob berkata, KKM sudah membuat laporan polis berhubung pihak yang dikatakan menyamar sebagai anggota KKM cuba menjalani ujian saringan Covid-19 dari rumah ke rumah tanpa memakai PPE.

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan individu menyamar sebagai anggota Kementerian Kesihatan (KKM) atas alasan menjalani ujian swab dari rumah ke rumah yang bukannya terletak di bawah kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

“Apa yang berlaku itu tipu dan saya cakap dengan Kementerian Kesihatan, mereka sendiri periksa nombor pendaftaran kereta itu, sepatutnya nombor di kereta Myvi, bukan di van.

“Jadi, van pun tipu, apa tindakan mereka itu adalah tipu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini bagi menjawab soalan berhubung pihak menyamar sebagai anggota KKM yang membuat ujian saringan Covid-19 dari rumah ke rumah tanpa memakai alat perlindungan diri (PPE).

Ismail menasihatkan orang ramai segera membuat laporan polis jika mengesyaki ada individu yang menyamar sebagai anggota KKM.

Katanya, KKM sudah membuat laporan berhubung penipuan itu dan polis akan mengambil tindakan segera bagi mengelakkan penipuan itu berulang.

Pengimbas suhu badan

Ismail berkata, pengguna boleh membuat aduan kepada pasukan khas pematuhan perintah kawalan pergerakan (PKP), jika mendapati pengimbas suhu yang digunakan di premis perniagaan tidak tepat dan tidak berkualiti.

Beliau berkata, peniaga sepatutnya menggunakan pengimbas suhu yang diluluskan KKM saja.

“Elok beli di farmasi dan bukannya beli pengimbas suhu di pasar malam.”

Rumah urut

Ismail berkata, rumah urut belum dibenarkan beroperasi semula setakat ini.

Tetapi, beliau sudah meminta Majlis Keselamatan Negara menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk dibentangkan dalam mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan PKP serta mendapatkan nasihat KKM.

“Jika pusat urut di bawah Kementerian Pelancongan, SOP akan dibentangkan kementerian itu.

“Bagi yang tidak daftar di bawah Kementerian Pelancongan, kita minta MKN bentang SOP bagi rumah tukang urut.”

Duta asing

Ismail menafikan duta asing tidak dibenarkan memasuki Malaysia, sebaliknya mereka ialah tergolong dalam kumpulan diplomat yang boleh masuk ke negara ini, walaupun pintu negara masih ditutup kepada warga asing.

“Tetapi, sebelum mereka pulang ke Malaysia, mereka perlu buat ujian Covid-19 di negara mereka.

“Mereka juga perlu kuarantin di rumah 14 hari dan muat naik aplikasi MySejahtera.”