Kadar pengangguran 5% hanya permulaan, kata persekutuan majikan

Persekutuan Majikan Malaysia berkata, lebih ramai yang akan kehilangan pekerjaan kerana ekonomi kekal ‘sangat lemah’ sehingga pertengahan 2021. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Persekutuan majikan terbesar di negara ini mengingatkan bahawa kadar pengangguran 5% pada akhir April lepas hanyalah permulaan bagi lebih banyak pengurangan pekerjaan.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata, sehingga 12% dijangka hilang pekerjaan mereka kerana ekonomi kekal “sangat lemah” sehingga pertengahan tahun depan.

Pengarah eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata, berikutan pasaran domestik yang lemah, pengguna tidak akan membelanjakan wang melainkan jika ia berkait dengan makanan dan kesihatan.

“Mereka berhati-hati dengan wang tunai yang dimiliki.”

Katanya, majikan tidak mempunyai pilihan melainkan mengurangkan pekerjaan kerana wang tidak ada untuk menyokong perniagaan. Sesetengahnya berhutang, katanya.

Terdahulu hari ini, Jabatan Perangkaan berkata, kadar pengangguran negara pada April meningkat ke 5% berikutan jumlah penganggur meningkat 48.8% kepada 778,800 orang berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, penutupan operasi sebahagian besar perniagaan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga April 2020 menyebabkan kehilangan pekerjaan dan pencari kerja sukar mendapat pekerjaan.

Katanya, jumlah tenaga buruh pada April 2020 mencatatkan pertumbuhan marginal sebanyak 0.6% atau 99,100 orang kepada 15.71 juta orang, pertumbuhan terendah sejak September 2014, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dari segi bulan ke bulan, jumlah tenaga buruh merosot 0.8% atau 130,700 orang berbanding Mac 2020.

Beliau berkata, penduduk bekerja yang paling terjejas adalah dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, iaitu penginapan serta makanan dan minuman, kesenian, hiburan & rekreasi; dan perkhidmatan lain seperti pusat kecantikan dan salon.

Shamsuddin berkata, keadaan sama berlaku di seluruh dunia, selain menambah bahawa kebanyakan pembekal di negara ini menyaksikan pesanan mereka tertangguh sejak Mac.

“Permintaan sangat lemah. Syarikat perlu mengurangkan tenaga kerja mereka. Ini akan berlanjutan sehingga pertengahan 2021. Kadar pengangguran 5% itu hanya permulaan,” katanya.

Beliau berkata, syarikat yang berpencapaian baik adalah yang berkaitan dengan makanan dan kesihatan, seperti ppengeluar peralalatn perlindungan peribadi (PPE), sarung tangan getah dan pelitup muka.

“Banyak (syarikat) mungkin akan gulung tikar melainkan mereka mendapat bantuan daripada kerajaan,” katanya, selain menambah bahawa syarikat perlu dilindungi daripada kebangkrapan dan tindakan undang-undang oleh pekerja.

Beliau menggesa kerajaan supaya meneruskan subsidi upah pekerja seperti yang dilakukan di Singapura dan Amerika Syarikat bagi menghalang syarikat daripada ditutup terus.