Paru-paru gadis rosak teruk akibat virus Covid-19 didedah seorang doktor

Gambar x-ray yang menunjukkan kesan kerosakan pada paru-paru pesakit muda disebabkan Covid-19. (Gambar Twitter)

Semua tahu kesan paling teruk yang akan dialami pesakit Covid-19 adalah paru-parunya.

Ini yang menyebabkan mereka yang dijangkiti akan mengalami kesukaran bernafas.

Baru-baru ini seorang doktor mendedahkan gambar x-ray yang menunjukkan kesan kerosakan pada paru-paru pesakit muda disebabkan pandemik Covid-19.

Pakar bedah di Hospital Northwestern Memorial dekat Chicago baru-baru ini melakukan pemindahan paru-paru yang jarang berlaku terhadap seorang gadis berusia dalam lingkungan 20-an yang kritikal selepas dijangkiti wabak berbahaya itu.

Difahamkan prosedur itu kali pertama dilakukan di Amerika Syarikat.

Pesakit itu menggunakan bantuan mesin sokongan nyawa di unit rawatan rapi (ICU) selama 6 minggu.

Akibat Covid-19 paru-paru gadis 20-an rosak teruk dan terpaksa dibedah dengan proses pemindahan. (Gambar Twitter)

Pada awal bulan ini, paru-parunya rosak teruk sehingga memaksa pemindahan segera perlu dilakukan bagi membolehkan dia terus hidup.

“Transplan tersebut merupakan salah satu cara untuk dia terus hidup,” kata Dr Ankit Bharat.

Pembedahan rumit yang mengambil masa selama 10 jam itu berjaya dilakukan dan kini pesakit berada dalam keadaan stabil.

“Dia sedar dan tersenyum. Dia turut membuat panggilan video kepada keluarganya,” kata Dr Bharat.

Meskipun pemindahan berjaya dilakukan gadis itu masih perlu menggunakan alat bantuan pernafasan kerana otot dadanya terlalu lemah untuk bernafas sendiri.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]