Pengurusan tertinggi TNB dipanggil perjelas isu kenaikan bil elektrik

Kenaikan mendadak bayaran bil elektrik semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan menimbulkan bantahan orang ramai.

TEMERLOH: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) memanggil Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memberi penjelasan berhubung kenaikan bil elektrik sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga menimbulkan rungutan rakyat.

Menterinya, Shamsul Anuar Nasarah berkata, kementerian dan Suruhanjaya Tenaga (ST) telah memanggil pengurusan tertinggi TNB yang diketuai ketua pegawai eksekutifnya Amir Hamzah Azizan pada hari ini, yang akan disusuli dengan satu lagi mesyuarat esok.

“Pengurusan tertinggi TNB diminta untuk membentangkan apa yang mereka laksanakan sepanjang tempoh ini bagi kita melihat isu yang dibangkitkan secara menyeluruh. Kita juga memberi peluang kepada mereka selepas mendengar rungutan dan kritikan rakyat.

“Saya difahamkan pada ketika ini, mereka (TNB) sedang memperhalusi semua perbincangan yang diadakan pagi tadi sebelum kita teliti lagi dengan lebih terperinci pada mesyuarat esok untuk mencari keputusan terbaik,” katanya.

Shamsul Anuar berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang di sini yang turut dihadiri ketua pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Abdul Kadir Abu Hashim.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa perkara akan dibawa ke peringkat atasan hasil daripada pertemuan itu dan berharap rakyat bersabar kerana kerajaan komited menyelesaikan isu itu dengan keutamaan kepada rakyat, selain memastikan TNB kekal memberikan perkhidmatan terbaik.

Ditanya jika TNB bakal dikenakan tindakan sekiranya melakukan kesilapan dalam pengiraan, Shamsul Anuar berkata: “TNB tidak boleh membuat sebarang kiraan dengan sewenang-wenangnya. Apa juga perkara yang hendak dilakukannya mesti mendapat persetujuan daripada ST sebagai badan penyelia dan pengawal kepada industri tenaga.

“Oleh itu, kita berkeyakinan bahawa ST dapat memastikan perkara ini diselesaikan dengan baik dan kita respons pada semua isu yang dibangkitkan. Saya faham ramai mahu keputusan segera, tetapi ini perkara penting yang perlu diteliti sepenuhnya,” katanya.