Perbicaraan pinda laporan audit 1MDB ditunda kerana peguam Najib sakit

Najib Razak didakwa meminda laporan audit 1MDB.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan perbicaraan Najib Razak meminda laporan audit 1MDB kerana seorang peguam pasukan pembelaan jatuh sakit.

Mahkamah sepatutnya mendengar permohonan bekas perdana menteri itu menggugurkan Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang seorang lagi peguam Rahmat Hazlan mengalami demam tinggi pagi ini.

“Saya sudah menghubungi seorang doktor untuk menemuinya dan beliau akan menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini.”

Shafee berkata, keputusan ujian Rahmat akan diketahui esok dan beliau sendiri akan menjalani ujian saringan itu juga, buat kali ke-6.

Zaini kemudiannya menangguhkan prosiding hari ini ke esok.

Mahkamah turut menetapkan 7 Ogos ini untuk mendengar permohonan pembelaan bagi menggugurkan Sri Ram kerana pihak pendakwaan meminta lebih banyak masa untuk memfailkan maklum balas mereka.

Najib memohon untuk menggugurkan Sri Ram atas alasan konflik kepentingan antara pelantikannya sebagai timbalan pendakwa raya kanan dan peguam.

Beliau turut mendakwa Sri Ram mempunyai tanggapan berat sebelah terhadapnya, walaupun sebelum beliau didakwa.

Bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali memfailkan satu afidavit untuk permohonan Najib menggugurkan Sri Ram, dengan mendakwa Sri Ram menemuinya pada Januari 2018 dan memintanya menahan ahli Parlimen Pekan itu.

Beliau turut mendakwa selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum pada 9 Mei 2018, Sri Ram memberitahunya “beliau benar-benar berharap saya mengikut nasihatnya dan mendakwa ‘penjenayah Najib'”.

“Saya terkejut dengan sikapnya yang merupakan contoh pendekatan tidak munasabah, khasnya daripada seorang bekas hakim mahkamah tinggi dan peguam terkenal yang sentiasa bercakap mengenai hak untuk perbicaraan adil,” kata Apandi ketika Sri Ram memberitahunya terdapat bukti mencukupi untuk mendakwa Najib atas dana dalam akaun banknya.

Sri Ram sedang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes 1MDB dan pindaan laporan audit Najib.

Beliau turut mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rasuah isteri Najib, Rosmah Mansor.

Najib didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan kekebalan daripada tindakan undang-undang berkaitan dakwaan beliau meminda laporan audit 1MDB antara 22 hingga 26 Februari 2016, manakala bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengannya.