PNB sahkan Jalil Rasheed letak jawatan sebagai ketua eksekutif

Abdul Jalil Rasheed, 38 merupakan individu paling muda yang dilantik untuk mengetuai PNB.

PETALING JAYA: Lembaga pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengesahkan menerima peletakan jawatan ketua eksekutifnya Abdul Jalil Rasheed setelah 9 bulan dilantik ke jawatan itu.

Lembaga PNB berkata, peletakkan jawatan Jalil sebagai presiden dan ketua eksekutif kumpulan itu berkuat kuasa hari ini, sekali gus mengucapkan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan beliau selama berkhidmat dengan PNB.

Lembaga juga meluluskan pelantikan pengganti Jalil dan pengumuman akan dibuat setelah menerima kelulusan yang diperlukan.

PNB, sebuah syarikat yang berkaitan kerajaan, adalah syarikat pengurusan dana dan pelaburan terbesar di Malaysia, yang mengendalikan dana lebih RM300 bilion, melalui unit amanah seperti Amanah Saham Nasional.

Dalam e-melnya kepada kakitangan PNB, Jalil berkata, beliau pergi setelah mengalami gangguan yang menyebabkannya bimbang akan keselamatan keluarganya.

“Titik terakhir bagi saya adalah gangguan yang terpaksa dihadapi daripada panggilan telefon daripada nombor yang tidak diketahui, penggodaman akaun e-mel korporat saya dan profil LinkedIn saya. Ini menjadikan saya semakin bimbang akan kesejahteraan keluarga saya. Akhirnya, saya memutuskan bahawa tidak adil bagi keluarga saya sekiranya masalah ini semakin meningkat, ” kata Jalil dalam e-melnya kepada kakitangan.

Pengunduran Jalil telah dijangka pada Sabtu oleh akhbar The Edge, yang menyebabkan anggota Majlis Tertinggi PPBM Abdul Kadir Jasin mendakwa pada hari Ahad bahawa Jalil merupakan mangsa pemerintahan Perikatan Nasional (PN) yang baru.

Kadir berkata, Jalil dipaksa meletak jawatan kerana dakwaan wujudnya percanggahan berhubung kelayakan akademiknya, sementara The Edge mendakwa wujudnya “masalah” berkait pelantikannya.

Jalil, 38, merupakan individu paling muda yang mengisi jawatan ketua eksekutif di PNB ketika beliau dilantik pada Oktober tahun lalu. Beliau sebelum itu bertugas di syarikat pengurusan dana dan pelaburan antarabangsa selama 14 tahun.

Menurut Kadir, yang merupakan bekas penasihat media Dr Mahathir Mohamad, Jalil berjaya menyelongkar “masalah” yang ditinggalkan oleh pengurusan tertinggi PNB yang dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Beliau berkata, Jalil telah berdepan dengan beberapa orang taikun Melayu.

Beliau bertugas selama 8 tahun dengan Aberdeen Standard Investments dan 6 tahun dengan pengurus dana Amerika Invesco, yang berpusat di Singapura.

Jalil berkata, ketika menerima jawatan sebagai ketua eksekutif, beliau memutuskan untuk tidak goyah dalam prinsipnya ketika menjalankan tugas.

Katanya keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur dari Singapura telah menelan kos kewangan dan kesejahteraan keluarga beliau.