Projek ECRL hanya lewat 0.02% kerana PKP, kata Wee

Dijadualkan siap pada Disember 2026, ECRL yang menghubungkan negeri di Pantai Timur dengan Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya dijangka menjadikan perjalanan dari Kota Bharu ke Putrajaya kira-kira 4 jam.

PUTRAJAYA: Projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) hanya 0.02% lewat dalam jadual pelaksanaannya berikutan negara mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP), tetapi kini kembali normal, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk memastikan projek ECRL berjalan lancar sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa projek mega itu diteruskan.

Katanya, kerja-kerja di jajaran Seksyen A sepanjang 210.4 kilometer (km) dari Kota Bharu (Kelantan) ke Dungun (Terengganu) dan Seksyen B dari Dungun (Terengganu) ke Mentakab (Pahang) sepanjang 223 km, sedang berjalan dengan setakat ini 16.45% telah siap.

Bagi Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang (Selangor), katanya, ia memerlukan sedikit penelitian dan perbincangan dengan kerajaan negeri memandangkan ia merupakan jajaran baru.

“ECRL bagi jajaran yang ditetapkan telah berjalan dan akan menggunakan kaedah terbaik dengan tempoh yang diberikan untuk menyiapkannya,” katanya dalam temu bual bersama media bersempena 100 hari beliau sebagai menteri pengangkutan baru-baru ini.

Pada 27 Mac, Muhyiddin ketika pelancaran Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) mengumumkan kerajaan akan meneruskan pelaksanaan semua projek yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 termasuk ECRL, Transit Aliran Massa (MRT2) serta Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara.

Projek ECRL sepanjang 640 km itu disambung semula setelah perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd dimeterai pada 12 April 2019 membabitkan pengurangan kos projek RM21.5 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion.

Dijadualkan siap pada Disember 2026, ECRL yang menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya dijangka dapat menjadikan perjalanan antara Kota Bharu dan Putrajaya kira-kira 4 jam dengan kelajuan 160km/j bagi kereta api penumpang.

MRL adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan).