Restoran 24 jam di Sarawak dibenar dibuka semula

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak mengumumkan bahawa restoran 24 jam, rumah ibadat, pelancongan dan kesenian boleh beroperasi semula bermula Rabu.

KUCHING: Sarawak membenarkan semua premis dan restoran makanan segera yang menawarkan perkhidmatan 24 jam dibuka semula berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Douglas Uggah Embas berkata, semua rumah ibadat bukan Islam dibenar beroperasi semula bermula Sabtu (20 Jun).

Jawatankuasa itu juga meluluskan prosedur yang digariskan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak untuk majlis perkahwinan sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergherakan pemulihan (PKPP).

Tadika juga dibenarkan dibuka semula pada 1 Julai ini.

Aktiviti pelancongan di negeri itu dibenarkan beroperasi semula bermula Rabu, kata ,menteri pelancongan Abdul Karim Hamzah. Ini termasuklah operator kembara, pemandu pelancong, rumah inap, hotel, pelancongan kembara dan ekstrem, selaman scuba dan snorkelling serta taman tema air atau kering.

Bagaimana bilik mesyuarat atau dewan persidangan dihadkan kepada separuh kapasiti asalnya.

Muzium, galeri, arkib, pusat kraftangan dan premis peringatan boleh dibuka kepada orang ramai bermula Rabu.

Kesenian kreatif juga dibenarkan menjalankan aktiviti penerbitannya untuk persembahan muzik, perfileman, videografi, fotografi dan reka bentuk grafik serta animasi.

Semua studio muzik, tarian, sekolah teater juga dibenarkan dibuka bermula Rabu.

Taman akan dibuka semula bermula Rabu.

Antaranya ialah Taman Negara Kubah, Taman Negara Gunung Gading; Taman Negara Tanjung Datu, Taman Negara Santubong, Taman Negara Talang-Satang; Taman Negara Gua Berangin, Taman Negara Batang Ai, Taman Negara Samajaya, Taman Negara Maludam, Taman Negara Gunung Lambir, Taman Negara Niah; Taman Negara Loagan Bunut dan Taman Negara Pulong Tau.

Taman negara lain yang bakal dibuka pada 22 Jun adalah Taman Negara Bako, Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Taman Negara Tanah Lembab Kuching dan Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti.