Selangor bukan lagi zon merah selepas kes aktif Covid-19 berkurangan

Sebuah daerah akan dikategorikan sebagai zon merah jika ia mencatatkan lebih 40 kes aktif.

PETALING JAYA: Selangor bukan lagi zon merah selepas Hulu Langat diklasifikasikan sebagai zon kuning kerana jumlah kes aktif berkurangan.

Infografik Pasukan Petugas Covid-19 Selangor menunjukkan hanya ada 11 kes aktif di daerah Hulu Langat selepas ketiadaan 45 kes aktif di Semenyih.

Sebuah daerah akan dikategorikan sebagai zon merah jika ia mencatatkan lebih 40 kes aktif.

Kali terakhir Selangor bebas daripada zon merah ialah 23 hari lalu.

Negeri lain yang tiada kes aktif Covid-19 ialah Perak, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, yang kini dianggap zon hijau.

Sebanyak 121 kematian dan 8,453 kes positif Covid-19 direkodkan di seluruh negara setakat ini. Seramai 7,346 pesakit sudah pulih, manakala 986 masih menerima rawatan.