Sugu Pavithra dan suami perlu pindah selepas memutuskan berhenti kerja dan fokus YouTube

Pasangan suami isteri M. Sugu dan S. Pavithra mengumumkan suaminya kini sudah berhenti kerja sebagai pekerja ladang di tempat mereka tinggal ketika ini.

Nama Sugu Pavithra di kalangan rakyat Malaysia sudah tidak asing lagi.

Video resepi masakannya yang simple dan menyelerakan menjadi trending hingga ke luar negara menerusi saluran YouTube mereka sendiri.

Inilah yang dikatakan “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu”.

Dan selepas beberapa bulan mengecapi populariti dalam kalangan rakyat Malaysia dan beberapa kali namanya disebut perdana menteri sebelum ini, pasangan suami isteri ini akhirnya membuat keputusan untuk memfokuskan sepenuhnya kepada penerbitan video tersebut.

Dalam satu video yang baru dimuat naik beberapa hari lalu, pasangan suami isteri M. Sugu dan S. Pavithra itu mengumumkan suaminya kini sudah berhenti kerja sebagai pekerja ladang di tempat mereka tinggal ketika ini.

“Suami saya sudah berhenti kerja di estet dan kami ada masa satu bulan lagi lah untuk pindah (keluar) dari ladang tempat estet kami.

“Sebab suami berhenti kerja ialah estet memang kerja tapi kami tak boleh cuti banyak dan absent (tidak hadir),” tambah suaminya kepada kenyataan awal S. Pavithra itu.

Menurut Pavithra, keputusan itu dibuat selepas suaminya sebelum ini perlu meluangkan lebih banyak masa bersamanya di rumah untuk mengadakan temubual di rumah mereka.

Disebabkan itu, suaminya terpaksa mengambil cuti beberapa hari dan akhirnya mereka membuat keputusan untuk meninggalkan kerja tersebut dan hanya memfokuskan kepada penghasilan video di YouTube.

“Jadi kerja dia terganggu sebab itu dan kami rasa lebih baik suami berhenti kerja dan fokus untuk YouTube sahaja lepas ni,” jelas S. Pavithra.

Keputusan suami isteri tersebut sudah pastinya mengejutkan para penonton dan subscriber channel mereka yang kini mencecah lebih 600,000 orang.

Walaupun ada yang memuji keputusan yang diambil mereka namun ada juga yang berharapkan pasangan tersebut sudah mempunyai perancangan rapi bersama keputusan yang diambil mereka itu.

Ini kerana jelas mereka, perancangan yang rapi terutama berkaitan kewangan sesuatu yang penting terutama dengan ketidakstabilan ekonomi susulan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia ketika ini.

Walaupun tidak menghalang keputusan yang diambil pasangan itu, ada juga para netizen yang memuji keberanian yang dimiliki mereka demi mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan melalui apa yang dilakukan ketika ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]