Tanah Risda: Peguam didakwa pecah amanah, gubah wang haram

Peguam Michael Persius Ubu berdepan 3 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan pembelian tanah oleh Risda di Tongod, Sabah.

KOTA KINABALU: Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini, atas 3 pertuduhan pecah amanah wang membabitkan pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan pengubahan wang haram.

Michael Persius Ubu, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa sebagai seorang ejen kepada Risda dan di dalam kapasiti tersebut diamanahkan dengan kuasa ke atas harta, iaitu wang berjumlah RM15,545,400, yang dibayar melalui cek Bank Muamalat ke dalam akaun Ambank milik Tetuan Michael Ubu & Co.

Bayaran itu merupakan 10% daripada harga jualan bagi pembelian tanah ladang kelapa sawit seluas 6,768.688 ekar di Sg Pinangah dan Sg Labau, Tongod, dan tertuduh dengan curang melepaskan harta itu dengan melanggar kontrak antara tertuduh dan pihak Risda.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Tetuan Michael Ubu & Co, tingkat 2, Beverly Hill Plaza, Jalan Bundusan Penampang, di sini, pada 22 Julai 2014 dan 19 Nov 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-2, dia didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM1 juta, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada syarikat Budiman Juta Sdn Bhd, di tempat yang sama pada 25 Julai 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu turut didakwa menerima wang tunai berjumlah RM2,960,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada syarikat sama, di tempat serupa pada 27 Nov 2015, mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu, pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Fadhly Mohamad Zambry memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh kerana kes berkenaan adalah serius dan tertuduh berpotensi melarikan diri ke luar negara.

Bagaimanapun, peguam Zahir Shah yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya diberikan ikat jamin atas alasan tertuduh tiada sebab untuk melarikan diri ke luar negara kerana isteri dan 3 anaknya berada di Sabah dan tertuduh juga menyedari tindakan melarikan diri akan merugikannya apabila akan kehilangan duit jaminannya.

Hakim Abu Bakar membenarkan Michael diikat jamin RM1 juta dengan 2 penjamin tempatan, serta 2 syarat tambahan, iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Sabah 2 kali dalam sebulan serta menetapkan sebutan semula kes pada 4 Ogos ini.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh membayar deposit RM700,000, iaitu RM300,000 dibayar pada hari ini dan RM400,000 lagi selewat-lewatnya 22 Jun.