Wee gesa pemandu teksi perbaharui kad pemandu untuk dapat bantuan RM600

Sebilangan besar pemandu teksi tidak menerima bantuan Prihatin One-off sebanyak RM600 di bawah pakej rangsangan ekonomi kerajaan adalah kerana kad perakuan yang dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat mereka tamat tempoh.

PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong menggesa pemandu teksi yang masih belum memperbaharui kad pemandu masing-masing supaya berbuat demikian bagi memudahkan penyaluran bantuan Prihatin One-off sebanyak RM600.

Beliau berkata masih ramai pemandu teksi tidak memperbaharui kad mereka dan menyukarkan usaha kerajaan untuk menyalurkan bantuan itu.

“Hanya 8,743 orang pemandu teksi sahaja yang telah memperbaharui kad pemandu sehingga 14 Jun lalu daripada anggaran 30,000 orang pemandu teksi yang masih belum memperbaharui kad pemandu sebelum ini.

“Ini menyukarkan usaha kerajaan untuk menyalurkan bantuan Prihatin One-off sebanyak RM600 bagi membantu pemandu teksi mengharungi waktu sukar akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 27 Mac lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang menawarkan bantuan “one-off” RM500 kepada 120,000 pemandu e-hailing dan RM600 kepada pemandu teksi mulai 1 Apr ini.

Bagaimanapun, pada 17 Mei, kumpulan yang mewakili pemandu teksi bercadang membuat rayuan kepada Muhyiddin kerana tidak mendapat bantuan tersebut.

Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia, Kamaruddin Mohd Hussain berkata, kira-kira 40,000 pemandu teksi belum menerima bayaran “one-off” RM600 disebabkan pelbagai alasan.

Kamaruddin berkata, antara pemandu teksi tidak menerima bantuan ialah kad perakuan yang dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) tamat tempoh.