1 maut disyaki akibat kencing tikus

Lelaki berusia 29 tahun yang berasal dari Dungun itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah petang Ahad lalu dan meninggal dunia 1.20 pagi Isnin ketika menerima rawatan di ICU.

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki berusia 29 tahun meninggal dunia disyaki akibat kencing tikus (leptospirosis), manakala 4 masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata lelaki yang berasal dari Dungun itu dimasukkan ke HSNZ pada 5.30 petang Ahad lalu dan meninggal dunia 1.20 pagi semalam ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

“Sehingga hari ini, 4 pesakit lain itu yang berumur lingkungan 30 hingga 32 tahun semuanya dalam keadaan stabil.

“Mereka (termasuk kes kematian) menunjukkan gejala menyerupai penyakit Leptospirosis seperti demam, sakit sendi (arthralgia), sakit otot (myalgia), cirit-birit dan muntah. Namun begitu, pihak jabatan masih menunggu pengesahan ujian makmal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil siasatan mendapati mereka semua dipercayai mempunyai sejarah melakukan aktiviti rekreasi di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut di Pahang dari 1 hingga 4 Jun lalu bersama 9 individu lain.

Azimi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan pengesanan kes individu lain yang menyertai aktiviti sama.

Katanya, leptospirosis adalah penyakit berjangkit disebabkan patogen leptospira, yang boleh berjangkit secara langsung atau tidak langsung daripada haiwan kepada manusia. Bakteria leptospira boleh terdapat di dalam air kencing haiwan yang dijangkiti seperti tikus, kucing, lembu, kambing, kuda dan haiwan lain.

“Antara tanda dan gejala jangkitan ialah demam menggigil, sakit kepala, sakit otot, muntah, jaundis (penyakit kuning), radang mata, sakit perut, cirit-birit, batuk dan ruam pada kulit.

“Manusia boleh dijangkiti sekiranya terdedah atau sentuh secara langsung dengan air tercemar kencing haiwan yang dijangkiti atau mengambil makanan atau minuman tercemar dengan air kencing haiwan dijangkiti.”

Beliau berharap orang ramai lebih peka dengan persekitaran rumah, premis makanan dan tempat rekreasi agar bebas daripada tikus serta haiwan perosak, manakala sampah dan sisa makanan perlu dibuang secara sempurna.

“Elak melakukan aktiviti riadah di tempat berpotensi dicemari seperti berkelah dan berenang di kolam atau sungai yang tidak diselenggara dengan sempurna.

“Elakkan berenang atau bermain air di kawasan air bertakung atau aliran air sungai yang perlahan serta minum air sungai atau kolam yang tidak dimasak.”

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Alias Razak menasihatkan orang ramai tidak bermandi-manda atau berkelah di sungai serta kawasan hutan lipur di Terengganu buat masa ini.

“Walaupun sudah ada kelonggaran diberi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan ini, kita berharap orang ramai sentiasa berhati-hati dalam menjaga keselamatan mereka, termasuk tidak berkelah di tempat tumpuan ramai untuk mengelak perkara seperti ini terjadi.”