333 pesakit pulih, tertinggi sejak Mac

PETALING JAYA: Seramai 333 pesakit Covid-19 dibenarkan keluar wad dalam tempoh 24 jam lalu, ia adalah jumlah kes sembuh tertinggi setakat ini.

Daripada jumlah itu, 307 ialah warga asing dan 26 rakyat tempatan.

Ini menjadikan keseluruhan kes pulih ialah 7,733 setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 651 pesakit sedang dirawat di hospital, dengan 4 di unit rawatan rapi, tetapi tiada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, angka korban kekal 121 kes, tetapi 11 kes baru dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhannya 8,505 kes setakat ini.

Beliau berkata, daripada 11 kes baru itu, 1 ialah kes import membabitkan rakyat Malaysia yang dijangkiti virus itu di luar negara.

“Daripada 10 kes penularan di dalam negara, 6 kes adalah bukan warganegara (di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan), manakala 4 kes di kalangan warganegara Malaysia (di Selangor serta Sarawak),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua kes di Kuala Lumpur itu membabitkan seorang warga asing daripada kluster tapak pembinaan kedua dan seorang lagi dikesan positif ketika menjalani ujian saringan untuk masuk kerja.

Empat kes di Negeri Sembilan termasuk 3 daripada kluster Pedas dan satu kluster syarikat pembersihan.

Empat kes dalam kalangan warga tempatan membabitkan seorang pesakit menjalani saringan pra-pembedahan di Hospital Putrajaya yang kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh, manakala 3 lagi kes ialah ahli keluarga seorang pesakit Covid-19 di Sarawak.

Sementara itu, Hisham mengingatkan orang ramai untuk terus memerangi demam denggi yang menunjukkan trend peningkatan berterusan, dengan purata kenaikan 8% setiap minggu.

“Luangkan masa ’10 minit hapuskan Aedes’ dengan membersihkan persekitaran anda dan musnahkan tempat pembiakan Aedes demi menyelamatkan nyawa anda dan orang tersayang.”