Elaun Mahdzir Khalid sebagai pengerusi jauh lebih rendah, kata TNB

Mahdzir Khalid.

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menegaskan elaun Mahdzir Khalid selaku pengerusi syarikat elektrik itu jauh lebih rendah daripada dakwaan yang dikongsi di media sosial.

TNB menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan kesahihan maklumat sebelum membuat sebarang perkongsian, kerana paparan mengenai elaun Mahdzir tidak benar.

“Elaun bulanan Mahdzir sebenarnya jauh lebih rendah dari paparan dikongsikan di media sosial, namun mencerminkan tanggungjawab beliau memimpin sebuah syarikat dengan lebih 9 juta pelanggan dan asset bernilai hampir RM60 bilion.

“Sebagai sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, emolumen yang diterima ahli-ahli lembaga pengarah TNB dinyatakan dalam laporan tahunan yang diterbitkan setiap tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular paparan berhubung elaun Mahdzir, yang juga naib presiden Umno, di media sosial menyusuli kontroversi mengenai bil elektrik pengguna.

TNB mengingatkan perbuatan menularkan maklumat tidak benar adalah kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.