Hannah Yeoh dipanggil polis berkait tweet perkahwinan bawah umur

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Hannah Yeoh.

PETALING JAYA: Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Hannah Yeoh berkata, beliau dipanggil Bukit Aman berhubung satu catatan di Twitter yang dibuatnya mengenai perkahwinan bawah umur pada Mac lalu.

“Saya telah dipanggil oleh Bukit Aman untuk memberi keterangan bagi siasatan mengenai tweet ini.

“Sekarang ini, tanya soalan pun tak boleh,” katanya dalam catatan Twitter yang disertakan tangkap layar tweet asal itu.

Tiga bulan lalu, Yeoh menyuarakan kebimbangan terhadap pelan strategi kebangsaan untuk menangani perkahwinan bawah umur susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam tweetnya pada 9 Mac lalu, beliau mempersoalkan apa yang akan berlaku kepada pelan strategi itu selepas pelantikan penggantinya, Siti Zailah Mohd Yusoff daripada PAS.

Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur dilancarkan pada Januari lalu untuk memastikan peraturan, garis panduan dan undang-undang di peringkat negeri berhubung perkara itu sejajar dasar persekutuan.

Pelan itu mengandungi program dan tindakan untuk menangani 6 faktor yang dikenal pasti sebagai punca perkahwinan kanak-kanak seperti kemiskinan dan kekurangan akses kepada pendidikan.

FMT sudah menghubungi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed untuk mendapatkan komennya.