Kumpulan teksi dakwa syarikat enggan beri surat kebenaran perbaharui kad pemandu

Gabungan Teksi SeMalaysia mendakwa pihak berkuasa seolah-olah menjaga kepentingan syarikat teksi berbanding pemandu teksi.

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan yang mewakili pemandu teksi mendakwa ada syarikat teksi yang enggan memberikan surat kebenaran untuk memperbaharui kad pemandu di Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) bagi memudahkan penyaluran bantuan “one-off” sebanyak RM600 menerusi pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat (Prihatin).

Ia menyusul gesaan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong semalam untuk 21,000 pemandu teksi memperbaharui kad pemandu bagi memudahkan penyaluran bantuan tunai itu.

Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia, Kamarudin Mohd Hussain berkata, isu itu sudah dibangkitkan 2 kali dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di bawah Jabatan Perdana Menteri, tetapi tiada usaha konkrit dilakukan Apad untuk menyelesaikannya sehingga hari ini.

“Kami percaya jika isu surat kebenaran yang kami panjangkan tidak diselesaikan dengan tulus dan jujur, ramai pemandu teksi tidak akan dapat memperbaharui kad pemandu dan sekaligus akan menidakkan hak mereka menerima bantuan yang diperuntukkan kerajaan,” katanya kepada FMT.

Kamarudin mendakwa ia adalah sebahagian daripada birokrasi dalam industri teksi dan pihak berkuasa seolah-olah menjaga kepentingan syarikat teksi.

“Kami berharap kerajaan khususnya Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin melihat isu yang kami utarakan ini sebagai isu serius.

“Jika tidak, sampai bila-bila pun isu di dalam industri teksi tidak akan dapat selesai dan industri akan terus malap.”

Pada 27 Mac lalu, Muhyiddin mengumumkan pakej Prihatin yang menawarkan bantuan “one-off” RM500 kepada 120,000 pemandu e-hailing dan RM600 kepada pemandu teksi mulai 1 April lalu.