Lelaki Nepal ‘mati’ di lokap Jinjang masih hidup, kata kedutaan

Suspek itu mati di lokap Balai Polis Jinjang di Kuala Lumpur. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur berkata, seorang lelaki yang mati di lokap Jinjang, Kuala Lumpur baru-baru ini bukannya warga Nepal bernama Dhan Bahdur.

Pada 2 Jun lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim dilaporkan berkata seorang tahanan berusia 37 tahun ditahan pada 27 Mei lalu. Dia dikatakan mati dalam selnya pada 31 Mei lalu.

Polis kemudiannya menunjukkan salinan pasport Bahdur yang mereka katakan dibawa si mati ketika dia ditahan, kepada Kedutaan Nepal.

Bagaimanapun, siasatan oleh kedutaan itu menunjukkan Bahdur – yang pernah bekerja di Malaysia – masih hidup dan sihat di Nepal.

“Orang itu (Dhan Bahdur) masih hidup. Saya bercakap dengannya semalam dan dia sangat bimbang selepas tahu apa yang berlaku,” kata Setiausaha Kedua (Penyelamatan & Penghantaran pulang, Penjara dan Penahanan), Pratik Karki kepada FMT.

“Saya hubungi badan (kerajaan) tempatan di mana beliau tinggal di Nepal dan mereka turut terkejut dengan berita itu. Mereka turut mengesahkan dia masih hidup.”

Karki berkata, Bahdur bekerja di Malaysia dari 2015 hingga 2018 sebagai pengawal keselamatan, di mana pasportnya mungkin disalin dan diubah tanpa pengetahuannya.

Hasil pemeriksaan kedutaan itu dengan rakan Bahdur di Malaysia mendedahkan Bahdur meninggalkan negara ini pada 2018. Mereka memberikan nombor telefon Bahdur di Nepal kepada Karki.

Karki mengesahkan Bahdur meninggalkan Malaysia pada 2018 selepas beliau menghantar gambar pasportnya dan halaman pasport dengan cop keluar dari Malaysia serta cop memasuki Nepal pada Februari 2018.

“Saya sudah memaklumkan polis mengenainya dan saya berharap mereka akan menyiasat perkara itu serta hubungi kami,” kata Karki.

Dalam satu kenyataan pada 2 Jun lalu, polis menolak kemungkinan perbuatan khianat dalam kematian tahanan itu yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict), sebuah NGO menentang kematian dan penderaan dalam tahanan, sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap kematian itu kerana mayatnya tidak diperiksa di tempat kejadian oleh koroner seperti diperuntukkan undang-undang.

Mayat itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.