Pemimpin PPBM, Umno berbalas ‘pandangan peribadi’, kata Rais

Rais Yatim.

KUALA LUMPUR: Rais Yatim menyifatkan kenyataan berbalas antara pemimpin partinya dengan Umno hanya “pandangan peribadi” individu terbabit, bukan pandangan rasmi parti masing-masing.

Ketua PPBM Negeri Sembilan itu berkata partinya tidak ada membincangkan kenyataan mana-mana pihak dalam aksi balas-membalas itu.

“Pandangan parti, setahu saya, belum dibuat oleh mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengangkat sumpah senator di Parlimen hari ini.

Beliau juga meminta semua pihak memberikan ruang kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menunjukkan kepimpinan beliau.

Rais diminta mengulas kenyataan daripada pemimpin partinya dan Umno berhubung masa depan Perikatan Nasional.

Wan Saiful Wan Jan dari PPBM dilapor berkata PN berpotensi menjadi lebih stabil berbanding Pakatan Harapan dan lebih baik daripada Barisan Nasional, tetapi Umno perlu berkorban dan tidak boleh mendominasi gabungan itu.

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin menjawab partinya bukan talian hayat untuk selamatkan mana-mana parti, manakala Puad Zarkashi mencadangkan PPBM dibubarkan dan kembali kepada mereka.

“Umno, PPBM, dan PAS harus melihat PN sebagai ‘tali 3 sepiling’ dan ‘tungku 3 sejerangan’ dalam memperkukuh majoriti komuniti Melayu dan Islam, sementara komuniti Tiong Hua, India, dan lain-lain bernaung bersama,” kata Rais.

“Cara kita supaya rasa peribadi tidak muncul tetapi rasa sekutu harus muncul. Takkan selamanya kita nak berpolitik?”