Penasihat khas ahli Parlimen Johor ditahan atas tuntutan palsu

Lelaki itu ditahan di pejabat SPRM hari ini dan difahamkan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret KL esok untuk permohonan perintah reman.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan seorang penasihat khas kepada seorang ahli Parlimen di Johor berhubung tuntutan palsu berjumlah RM58,000.

Sumber berkata, lelaki berusia 43 tahun yang mempunyai gelaran “Datuk” itu difahamkan menyerahkan tuntutan palsu itu kepada pusat khidmat ahli Parlimen berkenaan untuk bekalan makanan bagi satu majlis rumah terbuka, walaupun kerja terbabit tidak disempurnakan.

“Tuntutan itu dibuat pada 2019 dan ‘Datuk’ itu baru ditahan di pejabat SPRM hari ini.”

Difahamkan, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok untuk permohonan perintah reman.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, tetapi enggan mengulas lanjut.