PH kembali pada gandingan Dr M-Anwar selepas tawaran balas, cadangan ‘singgung perasaan’

Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim keluar daripada lif yang penuh dengan orang di ibu pejabat PKR minggu lalu.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan bersedia mengembalikan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, tetapi kali ini dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai timbalannya, walaupun kedua-dua pemimpin itu bergelut menunjukkan mereka mempunyai majoriti sokongan ahli Parlimen di Dewan Rakyat, sumber beritahu FMT.

FMT difahamkan pemimpin PH berjumpa sekurang-kurangnya 2 kali di sebuah hotel mewah di pusat bandar Kuala Lumpur sejak mesyuarat antara pemimpin tertinggi gabungan itu di ibu pejabat PKR pada Selasa minggu lalu, yang membayangkan calon perdana menteri akan diumumkan dalam masa seminggu.

Ia menyusul selepas gabungan itu, yang dalam keadaan kucar-kacir sejak ia kehilangan kuasa 4 bulan lalu, berdepan satu siri pembelotan daripada PKR yang boleh menggagalkan kempennya untuk kembali berkuasa.

Keputusan memilih Mahathir tidak disenangi penyokong kuat Anwar, kerana Mahathir “memungkiri janji” untuk menamakan Anwar sebagai penggantinya ketika PH berkuasa selama 22 bulan.

“Tetapi ia berlaku selepas beberapa cadangan lain dan cadangan balas yang dilihat lebih teruk daripada membawa 2 pemimpin itu yang dilihat berpecah belah dalam politik kita sekarang,” kata orang dalam PKR yang rapat kepada pemimpin DAP dan Amanah.

PH dikatakan bersetuju Mahathir akan berkhidmat “sehingga akhir tahun”, dengan satu perjanjian “hitam putih” ditandatangani untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Seorang pemimpin kanan PH enggan mengulas ketika dihubungi.

“Satu pengumuman akan dibuat kemudian,” katanya.

PH, yang kini terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan 5 ahli Parlimen dipecat daripada PPBM, berkempen untuk kembali berkuasa.

Peletakan jawatan Mahathir pada akhir Februari lalu menyebabkan kejatuhan kerajaan PH yang disusuli PPBM meninggalkan gabungan itu.

Bulan lalu, bekas perdana menteri itu, pengasas utama PPBM, hilang keahlian parti itu selepas beliau dan 4 ahli Parlimen duduk di bangku pembangkang ketika sidang sehari Dewan Rakyat pada 18 Mei.

Kehilangan keahlian dalam sebuah “platform Melayu” sebagai PPBM ternyata menjejaskan sebarang rancangan kemunculan semula pemimpin veteran itu, khasnya hanya 4 ahli Parlimen dari partinya sendiri, yang termasuk anaknya, Mukhriz secara terbuka enggan bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

Tanpa sokongan jelas dan terbuka untuk Mahathir daripada PPBM selain “kenyataan rasa hormat” untuk pemimpin veteran itu, kem Anwar mendakwa beliau kini mempunyai lebih banyak sokongan, seorang sumber beritahu FMT.

“Tetapi, dakwaan ini terlalu gagal kerana PKR sedang berdepan pembelotan.”

Sumber itu mendakwa presiden PKR itu “tidak mempunyai sokongan padu daripada wakil rakyatnya sendiri” walaupun selepas penyingkiran Azmin Ali, bekas timbalan presiden itu yang bersama kira-kira 12 pemimpin lain beralih sokongan kepada gabungan kerajaan pimpinan Muhyiddin dengan Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Jadi, kedua-dua pemimpin itu yang kini dijadikan wajah PH menyedari keadaan berisiko yang mereka hadapi sekarang.”

Bagaimanapun, penyokong Mahathir dan Anwar mendakwa masing-masing mempunyai lebih banyak sokongan daripada pihak lain.

“Walaupun PKR dan kem pro-Anwar sedar Mahathir sudah hilang kekuatan berundingnya disebabkan partinya sendiri tidak menghiraukannya, mereka mahu mendapatkan sebarang sokongan yang boleh dan akan cuba memujuk orang tua itu,” kata seorang sumber merujuk Mahathir yang berusia 95 tahun.

“Dalam perubahan politik ini, sokongan daripada 5 ahli Parlimen masih penting,” katanya merujuk 5 ahli Parlimen dipecat daripada PPBM, yang selain Mahathir dan anaknya Mukhriz, turut termasuk Maszlee Malik, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Amiruddin Hamzah.

Ini menyebabkan beberapa “tawaran balas” dibuat.

Mahathir tersinggung?

Satu cadangan daripada pihak Anwar, seperti yang FMT difahamkan, mendapat respons berang daripada pihak Mahathir.

“Mereka tampil dengan satu cadangan untuk menjadikan Anwar calon PM dan anaknya Mukhriz sebagai timbalan PM.”

Sumber memberitahu FMT, cadangan itu dilihat sebagai satu penghinaan kepada Mahathir.

“Sebenarnya dalam semua urusannya, masa depan politik anaknya tidak terlalu dipertimbangkan.”

Langkah menamakan Mahathir disokong DAP secara berhati-hati, walaupun ia tidak yakin sama ada beliau atau Anwar mempunyai sokongan diperlukan.

Tetapi, sesetengah pemimpin PH berpendapat masih ada peluang untuk menambah jumlah sokongan bagi gabungan itu “jika Mahathir ialah wajahnya”.

Satu daripada caranya ialah menarik ahli Parlimen Sarawak daripada GPS, yang kini menyokong Muhyiddin.

“Dengan pilihan raya negeri Sarawak tidak lama lagi, ada keperluan untuk menggembirakan GPS. Dan DAP boleh mengorbankan diri dengan tidak menyertai pilihan raya itu supaya GPS boleh memperkukuhkan kerajaan negerinya lagi.

“Sebagai balasannya, GPS boleh memberi 18 sokongan memihak kepada PH dalam usul undi percaya di Dewan Rakyat.”

FMT tidak dapat mengesahkan jika “tawaran” itu disampaikan secara rasmi kepada pemimpin GPS, tetapi seorang ahli politik Sarawak segera menolak tindakan sedemikian sebagai “menyinggung perasaan”.

“Pertama, DAP tidak akan menjadi ancaman kepada kami, dan kedua, pengalaman kami di bawah kerajaan persekutuan PH ialah sesuatu yang tiada pemimpin GPS akan lupakan,” kata pemimpin itu yang dilihat rapat dengan pegawai atasan negeri.

Buat masa ini, pemimpin PH meneruskan rancangan dengan satu-satunya gandingan yang mereka ada, 2 pemimpin dengan perbezaan pendapat yang diketahui seluruh dunia.