PKP pentadbiran di 2 taman Kuala Langat tamat

PKP secara pentadbiran dilaksanakan mulai 2 Jun lalu di Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni, Bukit Changgang selepas 20 pekerja pembersihan warga asing disahkan positif Covid-19.

KUALA LANGAT: Arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara pentadbiran di Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni, Bukit Changgang di sini tamat hari ini.

Pegawai Tanah dan Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata ia ditamatkan kira-kira 11 pagi tadi,

“Kementerian Kesihatan selesai menjalani ujian saringan Covid-19 terhadap semua 4,697 penduduk di kedua-dua kawasan itu,” katanya di pusat operasi kawalan secara pentadbiran itu hari ini. Turut hadir Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Azizan Tukiman.

Jusni berkata, keputusan saringan ke atas semua penduduk menunjukkan jumlah penduduk yang positif Covid-19 kekal 9 orang, dengan 7 warga tempatan, masing-masing seorang warga Nepal dan Thailand yang sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Pelaksanaan PKP secara pentadbiran dikenakan sejak 2 Jun lalu di kedua-dua taman perumahan itu berikutan kes positif Covid-19 membabitkan 20 pekerja pembersihan warga asing yang tinggal di kawasan berkenaan.