Putrajaya tak cadang jadikan ketum komoditi negara

Risda pernah mencadangkan kepada kerajaan Barisan Nasional untuk membenarkan penanaman ketum bagi membantu pekebun kecil getah. (Gambar Bernama)

ARAU: Kerajaan belum bercadang menjadikan tanaman ketum sebagai satu daripada produk komoditi negara, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, cadangan isu itu pernah dibangkitkan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, tetapi ia masih di peringkat perbincangan antara kementerian terbabit.

“Jika dilihat terdapat isu negatif dan positif dalam soal tanaman ketum dan elok jika Kementerian Kesihatan selesaikan isu tersebut dahulu,” katanya ketika melawat Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin hari ini.

Beliau mengulas apa pendirian kerajaan terhadap cadangan menjadikan ketum sebagai komoditi negara.

Sementara itu, Khairuddin berkata, kementeriannya kini memfokuskan tanaman lain sedia ada yang turut membantu meningkatkan ekonomi negara.

“Tumpuan kementerian ketika ini adalah memperkasakan hasil komoditi sedia ada seperti kelapa sawit, getah, kayu-kayan, koko dan kenaf terlebih dahulu, kemudian baru kita melihat hala tuju lebih besar.”