Tempoh cubaan operasi 24 jam pintu sempadan Malaysia, Thailand tamat

Waktu operasi Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam bagi laluan kenderaan berat kembali kepada waktu asal 6 pagi hingga 12 tengah malam, bermula esok. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand tidak akan meneruskan operasi 24 jam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah serta Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand kerana jumlah pergerakan kenderaan berat dan bermuatan yang sangat rendah.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini berkata, waktu operasi Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam bagi laluan kenderaan berat kembali kepada waktu asal, iaitu 6 pagi hingga 12 tengah malam, bermula esok.

Katanya, ini berikutan hasil kajian Jawatankuasa Penilai Keberkesanan Operasi 24 jam di 2 kompleks itu mendapati jumlah pergerakan kenderaan berat dan bermuatan kurang daripada 1% jumlah pergerakan kenderaan berat serta bermuatan sepanjang lanjutan tempoh operasi dari 12.01 tengah malam hingga 5.59 pagi.

“Ia dilihat tidak memberi kesan atau impak signifikasi dalam meningkatkan perdagangan dua hala dan merancakkan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya, termasuk menjayakan usaha ke arah mewujudkan hab logistik bersepadu.”

Katanya, bagi tujuan penyelarasan masa operasi di kedua-dua belah pihak, kerajaan menamatkan pelaksanaan tempoh percubaan operasi 24 jam bagi kenderaan berat dan bermuatan di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam hari ini.

“Kerajaan Malaysia dan Thailand melalui mesyuarat dua hala Malaysia-Thailand kedua berhubung pelaksanaan operasi 24 Jam di ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao yang diadakan pada 10 Jan 2019 bersetuju pelaksanaan operasi 24 jam di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao dilaksanakan secara tempoh percubaan selama 3 bulan, khusus untuk kenderaan berat dan bermuatan bermula 18 Jun 2019 sehingga 17 Sept 2019.

“Pada akhir tempoh tersebut, kedua-dua pihak bersetuju melanjutkan tempoh percubaan 9 bulan lagi, menjadikan keseluruhan tempoh percubaan selama 12 bulan dan akan tamat pada 17 Jun 2020 (esok).”

KDN berkata, sebarang cadangan pembukaan semula atau kelonggaran terhadap operasi pintu masuk negara akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa tanpa mengabaikan aspek kawalan sempadan serta hasrat penjanaan semula ekonomi negara.