TNB cari jalan selesai masalah bil elektrik tinggi

TNB berkata, ia mengeluarkan satu bil untuk penggunaan elektrik selama 3 bulan dari Mac hingga Mei lalu.

PUTRAJAYA: Tenaga Nasional Bhd memberi jaminan ia sedang bekerjasama dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Suruhanjaya Tenaga untuk menyelesaikan masalah kenaikan bil elektrik.

Pengguna mengadu kenaikan caj itu di media sosial.

Ketua Pegawai Runcit TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata berlaku purata penggunaan elektrik domestik yang lebih tinggi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana rakyat terpaksa duduk di rumah.

Katanya, mereka sudah mengumumkan moratorium ke atas pemotongan bekalan elektrik sehingga 31 Julai ini.

“Kami mahu beritahu rakyat, jika anda tidak mampu membayar bil elektrik sepenuhnya, anda boleh bayar secara ansuran.

“Walaupun anda tidak mampu bayar secara ansuran, jangan bimbang…kami tidak akan potong bekalan anda,” katanya dalam mesyuarat dengan media dan blogger di kementerian itu hari ini.

Beliau mendapati TNB membenarkan rakyat membayar tunggakan secara ansuran sehingga Disember 2020.

Mengulas catatan viral di media sosial berhubung caj tinggi, katanya, pengiraan bil elektrik terbaru dibuat berdasarkan bacaan meter manual, yang disambung semula ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Megat Jalaluddin berkata, bil terbaru menunjukkan kadar penggunaan elektrik sebenar berbanding bacaan anggaran ketika PKP kerana bacaan meter digantung untuk keselamatan pengguna dan pekerja TNB.

“Ia dikira untuk 3 bulan – Mac, April dan Mei – dan satu bil dikeluarkan.”

Katanya, jumlah penggunaan elektrik dikira menggunakan mekanisme pro rata – yang diluluskan kementerian dan suruhanjaya itu.

Beliau berkata, kaedah pro rata memastikan jumlah bil elektrik tidak dikira berdasarkan penggunaan elektrik selama 3 bulan secara sekaligus.

“JIka kita menggunakan kaedah sekaligus, maka ia akan menunjukkan penggunaan elektrik tinggi kerana ia akan dikategorikan di bawah tarif tertinggi. Tetapi, TNB tidak menggunakan kaedah sekaligus ini, seperti tanggapan ramai.”

Katanya, TNB hanya agensi pelaksana yang tidak mempunyai kuasa memberikan diskaun, sementara tarif ditetapkan Suruhanjaya Tenaga yang mengawal selia industri elektrik.

“Suruhanjaya itu akan berbincang dengan menteri berhubung sebarang perubahan tarif atau diskaun yang boleh diberikan. Jika ia memutuskan kita boleh beri potongan harga, kami akan laksanakannya.”

Beliau berkata, aduan akan diteliti atas dasar kes berasingan, contohnya rakyat yang diberikan bil walaupun tidak tinggal di rumah ketika PKP.

Sementara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah berkata mereka akan bekerjasama menyelesaikan isu itu.

Beliau menjelaskan pengumuman diskaun 50% bil elektrik di bawah pakej rangsangan ekonomi Prihatin hanya untuk isi rumah berpendapatan rendah B40.